BERNAMA

Melaka: Seorang jurujual dipukul gara-gara kereta diletakkannya menghalang sebuah kereta lain di depan sebuah restoran di Taman Sin Hoe di Bukit Baru di sini, Ahad lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim berkata, jurujual lelaki berusia 26 tahun itu dipukul dua suspek lelaki pada 11.30 pagi.

Beliau berkata, mangsa memakir keretanya di belakang kereta suspek dan meninggalkannya untuk membeli makanan, namun ketika kembali ke keretanya mangsa dipukul bertubi-tubi oleh suspek.

"Mangsa dipukul sebaik tiba di keretanya kerana dikatakan lambat mengalihkan keretanya walaupun hon sudah dibunyikan (suspek) berkali-kali. Rakan suspek turun dari kereta dan turut memukul mangsa," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, mangsa yang hendak beredar kemudian terlanggar belakang kereta suspek dan pergaduhan kali kedua berlaku menyebabkan suspek merosakkan bumbung, cermin hadapan, lampu hadapan kanan dan bumper kiri kereta mangsa.

Beliau berkata kedua-dua suspek berusia 30 dan 35 tahun ditahan di sekitar daerah Melaka Tengah pada 8.30 malam hari sama untuk siasatan mengikut Seksyen 323/506/427 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Disember 2016 @ 4:47 PM