Sarah Zulkifli


Ampang : Guru muzik di sebuah sekolah rendah di sini, didakwa di Mahkamah Sesyen, hari ini, atas tiga pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii terhadap tiga murid perempuan Tahun Tiga, di kelas muzik, dua bulan lalu.

Tertuduh, Mohd Nor Zaini Zulkifli, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik semua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rushan Lutfi Mohamed.

Bapa kepada lima anak itu dilihat tenang ketika pertuduhan dibacakan di dalam kandang tertuduh.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja melakukan seks luar tabii terhadap tiga murid berusia sembilan tahun di hadapan cermin di dalam kelas muzik di tingkat 3, Blok B di sekolah berkenaan, jam 3.35 petang pada 19 Oktober lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene tidak menawarkan sebarang jaminan.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam bela Nazri Hussin memohon mahkamah membenarkan jaminan disebabkan dia menanggung lima anaknya dan ibunya yang tua.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 20 Januari ini sebagai sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2016 @ 4:06 PM