BEKAS guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), Mohd Farid Yusof 31, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencabul kehormatan dan merangsang untuk melakukan kelucahan melampau terhadap 10 murid lelaki di sebuah sekolah agama integrasi di Bangi antara Februari 2014 dan April 2017 ketika perbicaraan di Mahkamah Sesyen, Kajang. FOTO Aizuddin Saad
BEKAS guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), Mohd Farid Yusof 31, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencabul kehormatan dan merangsang untuk melakukan kelucahan melampau terhadap 10 murid lelaki di sebuah sekolah agama integrasi di Bangi antara Februari 2014 dan April 2017 ketika perbicaraan di Mahkamah Sesyen, Kajang. FOTO Aizuddin Saad
Sarah Zulkifli


BEKAS guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kajang, hari ini, atas pertuduhan mencabul dan merangsang untuk melakukan kelucahan melampau terhadap 10 murid lelaki di sekolah agama integrasi di Bangi, antara Februari 2014 dan April 2017.

Tertuduh, Mohd Farid Yusof, 31, membuat pengakuan itu sebaik 20 pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

Mohd Farid dilihat tenang di dalam kandang tertuduh sepanjang prosiding itu dan menjawab 'saya tidak bersalah'.

Mengikut dua pertuduhan membabitkan merangsang, lelaki itu didakwa merangsang dua kanak-kanak lelaki yang ketika kejadian masing-masing berusia 10 tahun hingga 11 tahun untuk melakukan suatu perbuatan kelucahan melampau.

Dakwaan kedua-dua kes itu dikemukakan mengikut Seksyen 377E Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan sebat, jika disabit kesalahan.

Sementara itu, tertuduh turut menghadapi 18 lagi pertuduhan mencabul dengan meraba, memegang, memicit kemaluan serta mencium mulut lapan kanak-kanak-lain yang berusia antara sembilan dan 12 tahun.

Selain itu, dia turut menjilat lidah dan punggung kesemua kanak-kanak itu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di bilik guru, bilik kesihatan, bilik alat pandang dengar, bilik kokurikulum serta tiga kelas di sebuah sekolah agama integrasi di Bangi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Noor Hafizan Zakaria tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela memohon supaya dia diberikan jaminan.

Mahkamah kemudian membenarkan lelaki itu diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan dilarang mendekati mangsa sehingga kes selesai.

Selain itu, mahkamah turut menetapkan 8 Jun ini sebagai sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mei 2018 @ 3:59 PM