PENJAWAT awam berusia 42 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar dengan 104 pertuduhan seks luar tabii kerana meliwat isterinya sejak Mac hingga Jun lalu. Tertuduh juga didakwa dengan tujuh pertuduhan amang seksual terhadap tiga anak perempuannya yang berusia 12, 10 dan lima tahun pada Mei dan Jun lalu. FOTO Muhaizan Yahya
PENJAWAT awam berusia 42 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar dengan 104 pertuduhan seks luar tabii kerana meliwat isterinya sejak Mac hingga Jun lalu. Tertuduh juga didakwa dengan tujuh pertuduhan amang seksual terhadap tiga anak perempuannya yang berusia 12, 10 dan lima tahun pada Mei dan Jun lalu. FOTO Muhaizan Yahya
Muhammad Apendy Issahak


PENJAWAT awam didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar, hari ini dengan 104 pertuduhan seks luar tabii kerana meliwat isterinya sejak Mac hingga Jun lalu.

Tertuduh berusia 42 tahun yang bekerja sebagai pemandu juga didakwa dengan tujuh pertuduhan amang seksual terhadap tiga anak perempuannya yang berusia 12, 10 dan lima tahun pada Mei dan Jun lalu.

Lelaki terbabit didakwa meliwat isterinya yang berusia 37 tahun dengan purata dua atau tiga kali hampir setiap hari bermula pada 1 Mac hingga 3 Jun lalu antara 12.30 tengah malam hingga 11.30 malam.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tanpa kerelaan isterinya di kediaman mereka di Sungai Siput dekat sini.

Bagi kesemua 104 pertuduhan itu dia didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Terdahulu dia didakwa melakukan amang seksual terhadap tiga anak perempuannya pada 4 dan 7 Mei lalu serta 4 Jun lalu di lokasi sama pada 6 petang dan 9 malam.

Bagi kesalahan itu dia didakwa enam pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap kanak-kanak 2017 dan satu pertuduhan mengikut Seksyen 14 akta sama yang dibaca bersama Seksyen 16 akta sama

Jika sabit kesalahan dia boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta tambahan lima tahun dan dua sebatan jika membabitkan anak.

Lelaki terbabit bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi keseluruhan 111 pertuduhan yang dihadapi hari ini dan minta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan satu persatu di hadapan Hakim Rohaida Ishak yang mengambil masa hampir sejam.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Hasyutantee Khalil dan tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nor Izawani Ahmad Jalaludin untuk rayuan jaminan.

Pihak pendakwaan membantah sebarang jaminan kerana mangsa membabitkan isteri dan anak-anak tertuduh yang berkemungkinan boleh mengganggu mangsa.

Tertuduh dalam rayuannya memohon dibenarkan jamin susulan dia tidak lagi tinggal bersama dengan isteri dan anak-anaknya serta dalam proses perceraian selain hanya bekerja sebagai pemandu dengan pendapatan RM1,000 sebulan.

Hakim Rohaida kemudian tidak membenarkan sebarang jaminan bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 28 November ini bagi sebutan semula kes serta lantikan peguam untuk tertuduh.

Difahamkan tertuduh juga dijangka akan didakwa dengan 10 pertuduhan lagi di Mahkamah Majistret Sungai Siput esok membabitkan kes sengaja menyebabkan kecederaan dan ugutan jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Oktober 2019 @ 5:18 PM