Mas Ermieyati (tengah) pada sidang media mengenai perkhidmatan kawal selia umrah di Putrajaya, hari ini. FOTO Nursyahirah Marzuki
Mas Ermieyati (tengah) pada sidang media mengenai perkhidmatan kawal selia umrah di Putrajaya, hari ini. FOTO Nursyahirah Marzuki
Nursyahirah Marzuki


Putrajaya: Mana-mana agensi pelancongan yang mengelolakan umrah perlu mendapatkan Lesen Khas Umrah daripada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan mulai Oktober tahun depan.

Timbalan Menterinya Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, lesen khas itu dilaksanakan bagi memantau dan membangunkan pakej umrah negara, sekali gus mengurangkan kadar penipuan jemaah umrah.

“Satu daripada prasyarat untuk memperoleh lesen itu adalah pengendali umrah perlu menjalani Kursus Pemantapan Pengendali Umrah (KPPU) dianjurkan kementerian selama dua hari.

“Kursus ini wajib dan perlu dihadiri semua agensi pelancongan yang terbabit menawarkan perkhidmatan pakej umrah dengan bayaran RM800 seorang," katanya pada sidang media mengenai perkhidmatan selia umrah di sini, hari ini.

Beliau berkata, kursus itu sudah dilaksanakan dan sehingga kini, kira-kira 60 agensi pelancongan yang menawarkan pakej umrah sudah menjalani kursus berkenaan.

“Bagaimanapun, agensi lain tidak perlu tunggu sehingga Oktober 2017 untuk menghadiri kursus berkenaan.

“Selain itu, mereka yang gagal mendapatkan lesen pelancongan daripada kementerian bakal dikenakan tindakan mengikut Seksyen 5(2), Akta Industri Pelancongan 1992 iaitu denda RM50,000 atau penjara lima tahun selain berhadapan pembatalan lesen pelancongan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2016 @ 10:44 AM