MAS Ermieyati menyampaikan replika Sijil Lesen Khas Umrah kepada Ketua Pegawai Eksekutif TH Travel & Services Sdn Bhd Datuk Khalid Noordin.
MAS Ermieyati menyampaikan replika Sijil Lesen Khas Umrah kepada Ketua Pegawai Eksekutif TH Travel & Services Sdn Bhd Datuk Khalid Noordin.
Mohd Nasif Badruddin


Kuala Lumpur: Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan mewajibkan insurans takaful bagi setiap jemaah dan insurans indemniti ke atas syarikat pengendali umrah sebagai antara penambahbaikan dalam syarat khusus Lesen Khas Umrah (LKU).

Timbalan Menterinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, ia bagi melindungi daripada segala bentuk kecemasan dan perkara tidak diingini yang lebih luas termasuk jemaah terkandas akibat masalah kewangan serta penghantaran balik disebabkan kesihatan seperti diserang angin ahmar dan sebagainya.

Menurutnya, sebelum ini, jemaah tidak sedar insurans perlindungan individu atau pukal yang dibeli tidak melindungi perkara seperti terkandas dan sebagainya sehingga musibah terbabit terjadi ke atas mereka.

Katanya, LKU yang diperkenalkan mulai 1 Oktober lalu turut menetapkan empat lagi syarat lebih khusus.

“Pertama, pemegang LKU perlulah 100 peratus warga negara Malaysia dan beragama Islam, kedua menghadiri Kursus Pengukuhan Pemantapan Umrah (KPPU) di peringkat tertinggi berstatus pengarah atau pemegang saham.

“Ketiga, mempunyai perjanjian muasassah terkini atau perjanjian kerjasama dengan syarikat berstatus muasassah terkini.

“Keempat menjadi ahli Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Bumiputera Malaysia (BUMITRA) serta Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) yang masih sah laku sekurang-kurangnya enam bulan,” katanya selepas melancarkan LKU di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2017 @ 8:19 AM