Foto hiasan
Foto hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Polis tidak menolak kemungkinan pengumuman oleh kerajaan Arab Saudi yang membenarkan jemaah umrah dari seluruh dunia akan membuka peluang kepada penjenayah untuk menawarkan pakej umrah palsu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk Zainuddin Yaacob berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan polis berkaitan kes-kes ini.

"Namun diingatkan kepada orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan berwaspda sekiranya ditawarkan pakej umrah dalam tempoh terdekat.

"Sebagaimana kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), pelaksanaan ibadah umrah masih tidak dibenarkan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, jika terdapat kes penipuan umrah, ia akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat.

"Orang ramai perlu melakukan semakan dengan agensi yang bertanggungjawab termasuklah MOTAC dan polis bagi mendapatkan pengesahan dan pandangan berkaitan pakej yang ditawarkan.

"Masyarakat juga digesa membuat laporan polis sekiranya mendapati wujud tawaran pakej umrah yang meragukan," katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan MOTAC sedang menyiasat iklan pakej umrah yang meragukan kerana rakyat Malaysia belum dibenarkan melaksanakan ibadah itu selepas Covid-19 melanda.

MOTAC turut menegaskan syarikat pengendali umrah dilarang mengambil bayaran untuk sebarang pakej umrah, selain menasihatkan orang ramai agar berhati-hati terhadap tawaran meragukan sehingga kerajaan membenarkan ibadat itu dilaksanakan kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2020 @ 4:48 PM