GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Husni Mohd Noor


SEBANYAK 48 aduan berkaitan penipuan pengendalian pakej umrah dan ziarah diterima Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sejak awal tahun ini sehingga Oktober lalu.

Timbalan Menterinya Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, setakat ini, tujuh daripada 48 kes berkenaan sudah diambil tindakan dengan tawaran kompaun keseluruhan dikenakan berjumlah RM129,500 mengikut Akta 482.

“Bagi tempoh 2014 hingga Oktober lalu, kementerian mengambil tindakan ke atas 2,035 aduan berkaitan industri pelancongan dengan 391 aduan berkaitan perniagaan pengendalian pakej umrah atau ziarah.

“Sepanjang tempoh sama, sebanyak 612 kertas siasatan dibuka di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482). Sebanyak 91 kes daripada jumlah itu membabitkan perniagaan berkaitan pengendalian umrah atau ziarah dikeluarkan tawaran kompaun di bawah Akta 482 yang berjumlah RM701,000.

“Bagi tempoh 2018 sehingga Oktober 2019, pihak kementerian membawa tiga kes ke mahkamah yang membabitkan kesalahan menjalankan perniagaan pengendalian pakej umrah atau ziarah tanpa lesen di bawah Akta 482,” katanya pada sesi jawab lisan di sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan dikemukakan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib yang mahu kementerian menyatakan statistik kes dan tindakan bagi menangani penipuan oleh ejen pelancongan.

Katanya, bagi tempoh 2009 hingga 2017, pihaknya turut membatalkan lesen perniagaan bagi 12 syarikat pengendali umrah atau ziarah kerana didapati menjalankan perniagaan mengikut cara yang memudaratkan kepentingan awam termasuk yang terbabit kes penipuan.

Muhammad Bakhtiar berkata, selain mengambil tindakan ke atas aduan dan penguatkuasaan selaras dengan Akta 482, langkah-langkah berterusan lain yang turut diambil untuk mengurangkan kes penipuan ialah mendidik orang awam.

“Bagi tujuan itu, pihak kementerian bersama-sama persatuan industri pelancongan giat bekerjasama memberi kesedaran kepada orang awam dalam mengelakkan diri daripada ditipu dalam pembelian pakej umrah atau ziarah.

“Pihak kementerian juga mengadakan kempen kesedaran awam secara digital dengan mengeluarkan video khidmat nasihat dan tips percutian melalui media sosial dan media elektronik kepada orang awam dalam pembelian pakej percutian atau pakej umrah dan kepentingan membeli insurans perjalanan khususnya membabitkan percutian ke luar negeri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Disember 2019 @ 1:00 PM