Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Keadaan cuaca yang tidak menentu pasti memberikan sedikit kesukaran buat pasangan beregu utama negara Goh V Shem-Tan Wee Kiong dalam usaha melakar sejarah muncul juara kejohanan Seluruh England bermula hari ini.

Ia diakui sendiri Wee Kiong yang berharap mereka dapat menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca dan gelanggang di Birmingham secepat mungkin sebelum memulakan aksi sulung pada pusingan pertama esok menentang Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun.

“Paling penting buat kami sekarang adalah menyesuaikan diri walaupun sudah banyak kali kami bermain di sini. Keadaan setiap tahun memang berbeza terutama dari segi cuaca,” kata pemain berusia 27 tahun itu.

Wee Kiong yang kini mengungguli ranking nombor satu dunia bersama V Shem berkata, cuaca di Birmingham tidak boleh dijangka kerana pada satu ketika akan menjadi terlalu sejuk.

“Jadi, jika gagal sesuaikan diri dengan cepat, pasti kami tidak boleh beraksi pada tahap terbaik. Kami mahu cuba mengekalkan pencapaian tahun lalu. Jika menang, ia satu bonus buat kami,” jelas Wee Kiong.

Sementara itu, jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei mengakui teruja untuk beraksi dalam kejohanan pertamanya tahun ini sejak kali terakhir bermain dalam saingan kompetitif pada Siri Super Akhir di Dubai, Disember lalu.

“Saya sendiri tidak pasti berapa kali lagi saya boleh bermain dalam Seluruh England dan ini mungkin yang terakhir. Apa yang paling penting adalah fokus terhadap persiapan diri sendiri dan fikir satu demi satu perlawanan,” kata Chong Wei yang memulakan aksi pusingan pertama menentang pemain dari pusingan kelayakan.

Selain Chong Wei, turut beraksi dalam perseorangan lelaki adalah bekas juara remaja dunia Zulfadli Zulkiffli yang akan berdepan pemain sensasi China, Lin Dan.

Turut beraksi esok gandingan kedua beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang akan menentang Lu Ching Yao-Yang Po Han dari Taiwan, manakala wakil tunggal beregu wanita, Vivian Hoo-Woon Khe Wei berdepan pasangan Thailand, Puttita Supajirakul-Sapsiree Taerattanachai.

Dua pasangan beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying menentang Nico Ruponen-Amanda Hogstrom (Sweden) manakala Tan Kian Meng-Lai Pei Jing berdepan Tang Chun Man-Tse Ying Suet (Hong Kong).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2017 @ 10:16 AM