V SHEM (depan) dan Wee Kiong terima saingan sengit lawan bukan pilihan.
V SHEM (depan) dan Wee Kiong terima saingan sengit lawan bukan pilihan.

Kuala Lumpur: Pasangan beregu lelaki utama negara Goh V Shem-Tan Wee Kiong mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Grand Prix Emas Terbuka Bitburger selepas menewaskan beregu bukan pilihan Lin Chia Yu-Hsiao Lin Wu dari Taiwan, semalam.

Menurut laman sesawang Persatuan Badminton Dunia www.bwfbadminton.org, V Shem-Wee Kiong diberi tentangan sengit sebelum menang 21-16, 16-21, 21-13 dalam kejohanan berlangsung di Saarlandhalle Saarbrucken, Jerman.

Turut melangkah ke pusingan seterusnya pasangan wanita nombor satu negara Vivian Hoo Kah Mun Hoo-Woon Khe Wei apabila mereka menundukkan gandingan Leanne Choo (Australia)-Nadia Fankhauser (Switzerland) 21-17, 21-9.

Sementara itu, beregu campuran utama negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying turut mara ke suku akhir selepas menggagalkan percubaan Peter Kaesbauer-Franziska Volkmann dari Jerman 21-17, 21-18.

Bagaimanapun beregu campuran Chow Mei Kuan-Wong Fai Yin mengakhiri kempen mereka di kejohanan yang menawarkan hadiah berjumlah AS$120,000 (RM521,054) itu selepas kalah 13-21, 12-21 kepada pasangan pilihan keempat, Michael Fuchs-Birgit Michels dari Jerman.

Juga menerima nasib sama pemain perseorangan lelaki negara Chong Wei Feng, pemain pilihan ke-14, walaupun mempamerkan permainan penuh semangat menentang pemain pilihan ketiga dari Jerman, Marc Zwiebler, namun terpaksa tunduk 21-17, 13-21, 17-21 dalam masa 64 minit di pusingan ketiga semalam. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2015 @ 4:56 AM