IHSAN pembaca Harian Metro
IHSAN pembaca Harian Metro
Meor Riduwan Meor Ahmad dan Omar Osman


Sungai Petani: Tiga lelaki disyaki geng pecah rumah dan curi lembu diberkas selepas MPV mereka terbabas susulan insiden berbalas tembakan, awal pagi ini.

Menurut sumber, episod bermula selepas anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda menerima panggilan lelaki Melayu memberitahu rakannya dipukul sekumpulan lelaki.

Bagaimanapun, katanya, lelaki itu dikatakan dapat melarikan diri.

Katanya, lelaki itu memberitahu ketika melarikan diri, dia terdengar bunyi tembakan dilepaskan ke arahnya.

“Tapi, tembakan itu tak kena. Mangsa kemudian meminta bantuan polis untuk menyelamatkan dirinya sebab suspek masih menunggunya di pekan Bukit Selambau.

"Bertindak atas maklumat itu, sepasukan pegawai dan anggota pasukan ‘task force’ JSJ IPD Kuala Muda ke lokasi dan menyelamatkan mangsa," katanya.

Bagaimanapun, katanya, anggota ‘task force’ dihampiri dua kenderaan iaitu Naza Ria dan Proton Wira Aeroback yang kemudiannya cuba menghimpit kereta mereka.

Berikutan itu, katanya, anggota kemudian perkenalkan diri dan terus mengejar kenderaan suspek.

"Suspek kemudian melepaskan dua das tembakan dari dalam Naza Ria ke arah polis.

"Polis membalas tembakan dengan sasaran ke arah tayar Naza Ria di depan stesen minyak Buraq Oil di pekan Bukit Selambau dan terus mengejarnya," katanya.

Sumber berkata, apabila tiba di depan SM Bukit Selambau, Naza Ria itu terbabas ke kiri jalan dan empat lelaki keluar melarikan diri.

Menurutnya, dua daripada empat penyangak itu diberkas selepas berlaku pergelutan.

"Hasil pemeriksaan kereta suspek, polis menjumpai seorang lagi mangsa dalam keadaan terikat dan lebam akibat dipukul.

"Selain itu, seorang lagi suspek ditahan di kedai makan pekan Bukit Selambau," katanya.

Sumber berkata, polis turut menjumpai tiga parang, rotan, pisau, peralatan pecah rumah, alat hisap dadah dan suntikan pelalian dipercayai untuk mencuri lembu dalam Naza Ria.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2016 @ 3:45 PM