WARI (kiri) menunjukkan rangka motosikal curi yang ditemui dibuang. FOTO Eizairi Shamsudin
WARI (kiri) menunjukkan rangka motosikal curi yang ditemui dibuang. FOTO Eizairi Shamsudin
Aizat Sharif


Kangar: Geng Chemumar dipercayai terbabit kes mencuri motosikal sekitar Perlis dan Kedah tumpas apabila empat ahlinya ditahan dan polis menemui semula sembilan motosikal yang dicuri di Tambun Tulang, Arau, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superitendan Wari Kiew berkata, ahli kumpulan ini berusia antara 15 hingga 22 tahun didapati aktif menjalankan kegiatan curi motosikal sekitar Kangar, Arau dan Bandar Baharu, Kedah sejak dua tahun lalu.

“Kumpulan ini menggunakan beberapa batang ‘allen key’ yang diubahsuai untuk memudahkan mereka membuka kunci motosikal berkenaan sebelum menghidupkannya dan melarikan kenderaan berkenaan.

“Siasatan kita juga mendapati kumpulan ini banyak melakukan kegiatan jenayah itu di kawasan tempat letak motosikal di premis perniagaan sekitar Bandar Kangar, Hospital Tuanku Fauziah dan beberapa masjid utama di daerah ini” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar, hari ini.

Tambahnya lagi, kumpulan ini akan melakukan jenayah mereka ketika waktu Maghrib hingga lewat malam.

Wari berkata kumpulan ini juga menyasarkan motosikal seperti Honda EX5 dan Yamaha RXZ kerana mempunyai permintaan yang banyak di kalangan masyarakat di negeri ini.

“Anggota kumpulan berkenaan akan meleraikan bahagian pada motosikal itu seperti ekzos, enjin dan lampu untuk dijual kepada pelanggan mereka manakala rangka motosikal itu pula akan dicampakkan ke dalam sebatang sungai di Kampung Behor Mempelam di Tambun Tulang,” katanya lagi.

Wari berkata polis yang menubuhkan satu pasukan ‘task force’ Ops Lejang kemudian melakukan siri tangkapan termasuk ketua kumpulan berkenaan berusia 17 tahun bermula pada 9 Ogos hingga minggu lalu.

Bagaimanapun, seorang lagi ahli kumpulan ini masih bebas itu, katanya.

Polis juga mendapati ahli remaja berusia 15 tahun adalah adik kepada ketua kumpulan berkenaan, katanya.

Beliau berkata, dua suspek daripada kumpulan itu didapati mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan curi motosikal, penyalahgunaan dadah serta mencabul kehormatan.

Tujuh rangka motosikal curi yang dibuang di sungai di Kampung Behor Mempelam, Tambun Tulang itu pula dinaikkan semula dengan bantuan Unit Selam Polis Marin yang berpangkalan di Pulau Pinang manakala dua lagi ditemui di rumah suspek.

Suspek direman untuk siasatan bawah Seksyen 379A kerana mencuri kenderaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2016 @ 2:59 PM