MOUSSA Sissoko melihat keadaan Kane yang mengerang kesakitan selepas menjaringkan gol ketiga Tottenham. FOTO AFP
MOUSSA Sissoko melihat keadaan Kane yang mengerang kesakitan selepas menjaringkan gol ketiga Tottenham. FOTO AFP
AFP

JOSE Mourinho melabelkan komitmen yang diberikan Harry Kane kepada Tottenham sangat luar biasa selepas ketua pasukan England itu menjaringkan gol ke-200 untuk kelab ketika mengalahkan Newcastle 3-1 awal pagi tadi.

Kane sanggup berkorban sehingga menyebabkan bahunya terkehel ketika menjaringkan gol kedua peribadi pada hujung aksi bagi membantu Tottenham melonjak ke tangga ketujuh seterusnya menghidupkan peluang ke Liga Europa musim depan.

Mourinho memuji sumbangan Kane selepas beraksi hampir keseluruhan minit untuk Spurs bagi empat aksi terakhir dalam tempoh 13 hari.

"Harry Kane tahu bahawa dia sangat penting dan dia sangat luar biasa.

"Selepas berdepan dengan saat sukar sembuh dari kecederaan. Dia bermain setiap minit, setiap perlawanan, ini adalah aksi keempatnya dan Harry memberikan segalanya," kata Mourinho.

"201 gol dalam 350 perlawanan liga, boleh tahan hebat. Ia sangat bagus kalau ada pencapaian namun paling penting ialah meraih mata. Saya berharap dapat menambah lagi jumlah jaringan sebelum musim berakhir," katanya.

Serge Aurier beraksi untuk Spurs dua hari selepas adiknya, ditembak mati di Toulouse, Perancis dan Mourinho juga memuji pemain berkenaan.

"Serge Aurier menunjukkan perwatakan yang sangat kuat, setiap orang berbeza dan dalam hal ini dia memang mahu beraksi," kata Mourinho.

Selepas menumpaskan Arsenal dalam pertemuan seteru London, Mourinho mengakui beliau sangat terdesak untuk mendapat tempat ke Liga Europa musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2020 @ 9:15 AM