RUHAINIES kerap didekati lelaki termasuk golongan VIP. - FOTO Arkib NSTP
RUHAINIES kerap didekati lelaki termasuk golongan VIP. - FOTO Arkib NSTP
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Pelakon Ruhainies mengakui dirinya kerap didekati golongan VIP tetapi belum bersedia membuka pintu hatinya untuk bercinta.

Ruhainies, 24, berkata, buat masa sekarang dia enggan terikat dengan komitmen cinta, sebaliknya mahu memberi fokus kepada kerjaya seninya.

“Jadual kerja saya juga sangat sibuk hingga Jun tahun depan. Sekarang ini masa untuk diri sendiri pun tidak ada, inikan pula nak bercinta.Ia memang mustahil.

“Saya akui memang banyak lelaki yang cuba mendekati dan mahu menjalin hubungan termasuk golongan VIP, tetapi saya menolak dengan baik. Bukan tak mahu, tapi buat masa sekarang saya belum bersedia," katanya kepada Harian Metro.

Ruhainies yang juga pelakon drama Bagaikan Kelip Kelip berkata, dia tidak pernah meletakkan sebarang kriteria buat mana-mana lelaki.

"Saya mempunyai sasaran tersendiri untuk diri sendiri. Kalau saya berjaya mencapainya iaitu membelikan rumah untuk ibu bapa, baru saya boleh fikir untuk berkahwin.

"Orang selalu kata saya terlalu memilih, tapi sebenarnya tidak. Saya tidak pernah menetapkan sebarang syarat, cukuplah sekadar lelaki itu menghormati saya, ibu bapa dan boleh membimbing saya ke jalan yang lebih baik. Selebihnya saya berserah kepada jodoh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2016 @ 6:37 PM