RUHAINIES hanya memuat naik foto bersama kekasih dikenali Mr E yang ditutup mukanya. FOTO Instagram Ruhainies
RUHAINIES hanya memuat naik foto bersama kekasih dikenali Mr E yang ditutup mukanya. FOTO Instagram Ruhainies
Norhayati Nordin


"MANA ada saya muat naik foto berpeluk dengan kekasih di Instagram (IG). Setahu saya, setakat ini hanya memuat naik foto kami berdua yang menutup mukanya," kata pelakon Ruhaines.

Ruhainies, 27, menyangkal dakwaan segelintir warganet yang cuba mengaitkan dirinya dengan cerita sensasi berkaitan hubungan mesra dengan kekasih dikenali 'Mr E'.

Pelakon drama Menantu Ting Tong itu berkata sebagai selebriti dikenali, dia sedar tidak boleh lari daripada terkait cerita sensasi membabitkan peribadi dan menerima kecaman warganet.

"Dalam perkembangan era media sosial ketika ini, apatah lagi membina pula karier sebagai selebriti, saya terima apa saja kecaman dan kritikan diberi warganet selagi tidak melampaui batas.

"Saya tidak boleh cepat berasa sedih, kecewa atau terasa hati dengan kecaman ini. Jika hati tidak kental, lebih baik saya jangan jadi selebriti," katanya.

Ruhainies atau nama sebenar Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas berkata, kini dia sudah lali dengan setiap kecaman mahupun kritikan daripada warganet.

"Apa yang boleh dikata, hati saya sekarang macam dah 'kalis peluru' dengan apa saja kecaman dan kritikan daripada warganet ini. Terpulang pada mereka nak kata apa.

"Saya tidak boleh menutup mulut orang. Cuma, apa yang mampu dilakukan saya tidak akan cepat melatah atau melenting terhadap apa saja cerita dikaitkan dengan diri ini.

"Pada saya, selagi tidak melampaui batas akan diterima. Namun, jika berlaku sebaliknya saya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang," katanya.

Ruhainies berkata, negara ini ada undang-undang dan dia yakin setiap orang harus menghormatinya. Apa pun, katanya setiap manusia tidak sempurna.

"Gosip berbaur peribadi dan cerita sensasi ini adalah perkara biasa bagi saya. Setakat ini, perkongsian yang saya buat di akaun IG hanya untuk peminat.

"Pada mereka yang tidak minat, boleh abaikan saja. Cuma, memang ini cara saya berkongsi apa yang disukai dan membuatkan diri sendiri gembira," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ruhainies akan membintangi telefilem Ustaz Rock arahan Along Kamarudin.

Malah, dia juga dalam perancangan membuka perniagaan kafe dikenali Bytes di Plaza Arkadia, Desa Parkcity, Kuala Lumpur sekitar Oktober nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 September 2019 @ 4:22 PM