REMAJA lelaki berusia 18 tahun didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh atas tuduhan memberikan rasuah RM50 kepada anggota polis. FOTO Effendy Rashid
REMAJA lelaki berusia 18 tahun didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh atas tuduhan memberikan rasuah RM50 kepada anggota polis. FOTO Effendy Rashid
Mohd Hafizee Mohd Arop


PADAH memberikan rasuah RM50 kepada anggota polis, remaja lelaki didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini.

Tertuduh berusia 18 tahun, bekerja sebagai mekanik mengaku bersalah pada 10 Ogos lalu sebelum keputusan ditetapkan hari ini oleh Hakim S Indera Nehru bagi menunggu laporan akhlak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mengikut pertuduhan pilihan, tertuduh memberi suapan kepada Lans Koperal Mohd Farid Ahmad yang bertugas di Balai Polis Pangkor supaya tidak mengambil tindakan saman ke atas kesalahan menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Hwa Lian, Pasir Bogak, Pangkor kira-kira 2 petang pada 18 April lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Indera Nehru kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau tertuduh berdepan hukuman penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh diwakili peguam Kenny Lai Choe Ken.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2017 @ 12:44 PM