Amirul Haswendy Ashari


Nampaknya dakwaan kontroversi gangguan seksual Lee Se Young dan produksi program bual bicara hiburan, Saturday Night Live Korea (SNL) mulai panas.

Terbaru, Polis Mapo mengeluarkan kenyataan sudah menerima laporan daripada E-People, badan yang mengurus petisyen, cadangan dan laporan polis yang dibuat masyarakat umum pada 30 November lalu.

Pun begitu, tarikh Lee Se Young dipanggil untuk sesi soal jawab belum dikeluarkan lagi tetapi pihak polis sudah pun memulakan siasatan.

Pihak polis juga enggan memberi komen lanjut mengenai kes itu termasuk sama ada B1A4 turut disoal siasat atau tidak.

Agensi mewakili Lee Se Young, FNC Entertainment berkata, mereka tidak menerima sebarang maklumat daripada pihak polis mengenai isu itu tapi akan bekerjasama jika diperlukan.

Lee Se Young dan SNL Korea berdepan kontroversi selepas kakitangan SNL didakwa melakukan perlakuan tidak senonoh dengan tetamu lelaki.

Dalam rakaman video, kakitangan wanita SNL, termasuk Lee Se Young, didakwa memegang alat sulit seorang tetamu lelaki dalam rancangan itu.

Antara yang didakwa jadi mangsa gangguan seksual itu ialah ahli kumpulan B1A4, Infinite dan Block B.

Susulan insiden, Lee Se Young dan SNL Korea mengeluarkan kenyataan maaf. Malah B1A4 dan agensi mereka juga dipercayai sudah memberi respons kepada permohonan mereka.

“Hello! Saya Lee Se Young. Saya minta maaf kerana menyusahkan banyak pihak disebabkan kelakuan saya di dalam SNL Korea.

“Saya minta maaf kepada setiap ahli kumpulan dan juga kepada semua peminat melalui surat ini. Saya akan sentiasa ingatkan diri sendiri supaya tidak bertindak bodoh seperti ini lagi.

“Dari hati tulus ikhlas, saya minta maaf sekali lagi,” tulis Lee Se Young dalam sepucuk surat yang kemudian dimuat naik ke laman sosialnya.

Dalam pada itu, kumpulan B1A4 dalam kenyataan mengenai kontroversi yang melanda mereka menyifatkan ia kelakuan yang tidak disangka.

“Jujurnya, ia berlaku secara tiba-tiba sehingga tidak tahu bagaimana untuk respons. Jadi, kami tonton video itu sekali lagi dan kami berpendapat ia membuatkan peminat jadi bimbang.

“Walaupun digegarkan dengan kontroversi ini, kami akan berusaha keras bagi menjayakan album baharu kami,” kata Jun Jinyoung, ketua B1A4.

Mereka memberi respon itu selepas sesi persembahan ‘showcase’ album terbaharu mereka, Good Timing, Selasa minggu lalu.

Tapi disebabkan kes ini dikategorikan sebagai kelakuan tidak senonoh, ia akan disiasat secara rasmi oleh pihak polis bawah akta jenayah.

Disebabkan isu ini juga, Lee Se Young menolak Anugerah Budaya dan Hiburan Korea ke-24 yang dianugerahkan kepadanya.

“Dia sudah disahkan menerima anugerah itu dari awal tapi selepas diperincikan semula, dia mengambil keputusan untuk tidak menerima anugerah berprestij itu,” kata wakil agensi FNC Entertainment.

Anugerah Budaya dan Hiburan Korea yang diadakan secara tahunan untuk mengiktiraf 70 penghibur dan artis tempatan yang berjaya mengharumkan budaya Korea ke seluruh dunia.

Sejak isu itu, netizen acap kali mengutuk Lee Se Young dan kakitangan wanita di SNL Korea.

Mereka juga mendesak setiap pelaku diberhentikan kerja.

Ada laporan mendakwa Lee Se Yong sudah meninggalkan program itu tapi ia dinafikan penerbit, Ahn Sang Hwi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Disember 2016 @ 5:05 AM