JI Sung.
JI Sung.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

BINTANG terkenal Korea Selatan, Ji Sung, 42, tidak saja menjadi igauan ramai peminat malah sering menjadi rujukan pelakon negara itu berikutan kemampuannya menjiwai pelbagai watak dengan cemerlang.

Berilah apa saja watak baik romantik, serius, lasak mahupun psiko, pasti mampu dilunaskan sebaik mungkin. Tidak hairanlah dia layak meraih pelbagai anugerah berprestij sepanjang pembabitannya dalam bidang lakonan.

Antara drama lakonannya adalah All In (2003), Save The Last Dance For Me (2004), Protect the Boss (2011), Secret Love (2013), Kill Me, Heal Me (2015), Entertainer (2016), Innocent Defendant (2017) dan Familiar Wife (2018).

Jika sebelum ini dia membintangi drama Familiar Wife dengan memegang watak pekerja bank, menerusi drama terbaharu lakonannya, Doctor John, Ji Sung berjaya mencuri tumpuan apabila tampil sebagai pakar anestesia, Cha Yo Han.

Drama perubatan 32 episod adaptasi novel Jepun berjudul On Hand of God penulisan Yo Kusakabe itu sudah menemui penonton pada 19 Julai lalu.

Kali ini Ji Sung bergandingan dengan pelakon cantik, Lee Se Young yang melakonkan watak Kang Shi Young, doktor muda yang mengagumi kebolehan Yo Han.

Meskipun Yo Han dilabel angkuh, ramai mengakui kepakarannya dalam dunia perubatan. Malah, dia digelar doktor ‘10 saat’ kerana mampu mengenal pasti masalah pesakit dalam tempoh yang singkat.

BABAK dalam Doctor John.
BABAK dalam Doctor John.

Menurut Ji Sung, antara sebab dia bersetuju membintangi drama itu selain jalan cerita menarik adalah kerana sudah lama berkawan baik dengan pengarahnya, Jo Soo Won.

“Saya percaya sentuhan Soo Won tidak pernah mengecewakan. Kami sudah lama kenal dan saya tahu cara kerjanya.

“Selain itu drama ini memaparkan kisah dunia perubatan yang sangat menarik untuk diteroka,” katanya.

Menurut suami aktres Lee Bo Young itu, dia juga seronok menjiwai watak doktor genius dan sombong yang digambarkan sangat mencabar.

“Saya cuba memahami watak ini dengan baik dan menghayati emosinya.

“Drama ini berjaya disiapkan dengan sempurna. Sudah empat episod bersiaran dan saya tidak sabar mahu lihat perkembangan watak Yo Han, Shi Young dan individu di sekeliling mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Ogos 2019 @ 6:00 AM