Yusliza Yakimir Abd Talib

Bunga melati adalah tanaman hiasan yang mempunyai banyak khasiat untuk kehidupan manusia. Selain manfaat kesihatan, bunga yang berbau harum dan menenangkan ini juga bermanfaat untuk kecantikan.

1. Atasi jerawat

Melati juga berkhasiat untuk mengatasi jerawat. Anda hanya perlu menyiapkan bahan seperti bunga melati, belerang dan air limau nipis.

Caranya, cuci bersih semua bahan, kemudian ditumbuk hingga halus dan tambahkan limau nipis. Oleskan di bahagian wajah yang ditumbuhi jerawat, biarkan 10 hingga 20 minit dan bilas hingga bersih. Lakukan rawatan ini sehari dua kali.

2. Menghaluskan kulit tubuh

Memiliki kulit tubuh yang halus dan lembut impian setiap wanita. Untuk mendapatkannya, tidak perlu menggunakan rawatan yang mahal sebaliknya boleh melakukannya sendiri di rumah. Gunakan segenggam melati, cuci hingga bersih dan tumbuk halus. Tambahkan air mawar, atau minyak zaitun. Untuk mendapatkan hasil yang lebih baik, boleh mencampurkan susu atau pun madu. Oleskan pada kulit secara merata, gosok hingga 20 minit dan sebaiknya disertai urutan lembut agar semua sel kulit yang mati dapat ditanggalkan. Bilas hingga bersih dan pupur ini boleh dilakukan dua ke tiga kali seminggu.

3. Menghilangkan bau badan

Tiada gunanya penampilan yang cantik tapi badan ada aroma kurang menyenangkan atau bau badan. Sebenarnya ada cara mudah untuk menghilangkan bau badan iaitu menggunakan ramuan bunga melati. Caranya, gunakan 30 kuntum bunga melati yang dicuci, masukkan ke dalam gelas berisi air masak, tutup dengan plastik yang dilubang kecil, embunkan semalaman. Minum setiap pagi selama lima hari berturut-turut.

4. Menguatkan rambut

Bukan hanya lidah buaya yang bermanfaat untuk menguatkan rambut dan mengatasi keguguran.

Bunga melati juga boleh digunakan untuk menguatkan rambut sehingga tidak mudah gugur.

5. Mencegah penuaan awal

Minum secawan teh bunga melati setiap hari dipercayai dapat membuat kulit awet muda. Ini kerana kandungan antioksidan yang tinggi pada teh bunga melati mampu melawan radikal bebas yang menyebabkan kulit rosak. Jadi, jika anda ingin kelihatan awet muda, selain bersenam secara teratur, amalkan meminum secawan teh bunga melati setiap hari.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2016 @ 1:44 PM