KOMBINASI bahan organik lain boleh ditambah untuk meningkatkan keberkesanan.
KOMBINASI bahan organik lain boleh ditambah untuk meningkatkan keberkesanan.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Kunyit antara bahan masakan penting yang melazatkan hidangan sama ada dalam bentuk serbuk ataupun digunakan secara segar dan pasti tidak lengkap dapur jika bahan ini tiada dalam simpanan.

Bagaimanapun, kunyit dikatakan amat baik untuk meningkatkan kesihatan kulit, malah sudah digunakan sejak zaman nenek moyang sebagai bahan semula jadi bagi mencantikkan kulit.

Ini kerana kunyit memiliki sifat antiinflamasi atau keradangan dan anti-oksidan yang penting untuk mengubati keadaan kulit.

Justeru, menggunakan kunyit sebagai pupur wajah bukan saja dapat meredakan keradangan akibat jerawat, malah mampu mengecutkan jerawat dan mengurangkan jerawat.

Jerawat kecil yang banyak boleh menyebabkan kulit merah dan bengkak juga dikatakan dapat dikurangkan dengan menggunakan pupur kunyit.

Cara menggunakan pupur wajah daripada kunyit ini juga mudah - hanya oleskan pada seluruh kulit wajah, dibiarkan seketika sehingga kering sebelum dibilas dengan bersih.

Ada banyak jenis pupur yang tersedia di pasaran dengan beraneka jenis bahan untuk berbagai jenis kulit. Namun, pupur wajah boleh dibuat sendiri menggunakan kunyit.

Untuk membuat pupur menggunakan kunyit, kombinasi bahan organik lain boleh ditambah untuk meningkatkan keberkesanan. Kombinasi kunyit dengan madu avokado, telur, yogurt atau susu boleh dicuba sendiri sebelum menetapkan salah satu yang paling sesuai dengan kulit wajah masing-masing.

Pupur kunyit juga digunakan untuk meremajakan kulit. Kekerapan menggunakan kunyit yang digandingkan dengan bahan lain dapat melembutkan kulit dan menghilangkan garis serta kedutan usia.

Panduan sebelum menggunakan pupur

Sebelum menyapu pupur, kulit harus betul-betul bersih dan segar, serta bebas daripada solekan atau losen. Lebih elok jika dimulakan dengan mandi air suam atau mandi wap.

Selepas sapuan pupur, rilekskan diri dan berehat selama lebih kurang 20 minit sehingga pupur kering dan keras. Bilas dengan air suam dan pastikan sisa pupur dibuang dari kulit wajah.

Akhiri bilasan dengan percikan air sejuk pada wajah bagi menyegarkan kulit dan keringkan dengan tuala bersih.

Berikut adalah beberapa cara memanfaatkan kunyit untuk pupur wajah yang dapat digunakan untuk pelbagai jenis kulit.

Pupur kunyit asas

Untuk membuat pupur kunyit asas, campurkan madu, yogurt atau susu, dengan beberapa sudu serbuk kunyit di dalam mangkuk. Campurkan semua bahan ini hingga membentuk pes halus sebelum dioleskan pada kulit wajah. Biarkan pupur selama sekurang-kurangnya 20 minit sebelum dibilas.

Pupur wajah kunyit untuk mencerahkan kulit

Campurkan dua sudu teh serbuk cendana, dua sudu teh serbuk kunyit, setengah cawan tepung kacang dan sedikit minyak badam atau mentega. Tambahkan sedikit air dan digaul sebati hingga menjadi pes. Oleskan pupur ini pada wajah, biarkan sampai kering dan kemudian bilas hingga bersih dengan air.

Pupur kunyit untuk kulit kering

Campurkan sesudu teh kunyit, sesudu makan susu tepung dengan air. Sapukan pada wajah selama 10 hingga 15 minit sebelum dibilas.

Pupur kunyit untuk kulit berjerawat

Tambahkan dua sudu dadih, setengah sudu kunyit dan setengah sudu serbuk cendana yang dicampur membentuk pes halus. Oles pupur di sekitar wajah selama 10 ke 15 minit sebelum dicuci bersih.

Dadih dikatakan sangat baik untuk kulit manakala cendana diketahui banyak manfaatnya antaranya melembut dan mencerahkan kulit. Bahkan ia juga dikatakan dapat membantu mengubati jerawat.

Pupur kunyit untuk kulit berminyak

Sedikit serbuk kunyit dicampur dengan minyak kelapa, kacau sebati. Sapukan pupur pada wajah selama 10 minit sebelum dicuci bersih.

Minyak kelapa sudah lama dikenali memberi manfaat untuk kulit.

Minyak kelapa adalah salah satu pelembap semula jadi terbaik yang juga melindungi kulit dari bakteria. Menggunakan minyak kelapa juga membantu menghilangkan bekas luka jerawat dan bintik lain pada kulit.

Pupur kunyit untuk perawatan jenis kulit biasa

Dua sudu yogurt asli, serbuk kunyit dan minyak mustard dicampur hingga menjadi lembut dan dioles pada wajah sebelum dibersih. Minyak mustard mengandung banyak vitamin dan mineral, dan juga memiliki sifat antikulat dan antibakteria, namun pes ini tidak sesuai untuk kulit sensitif.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2016 @ 12:07 PM