Kereta peronda polis yang terbabas ke dalam parit di Parit Kelat, Muar, tengah hari tadi.
Kereta peronda polis yang terbabas ke dalam parit di Parit Kelat, Muar, tengah hari tadi.
Ibrahim Isa


Muar: Dua anggota polis nyaris maut apabila kereta peronda polis (MPV) dinaiki mereka terbabas ke dalam parit di Parit Kelat dekat sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, dua anggota berkenaan dikatakan melakukan rondaan cegah jenayah sebelum kereta terbabas ke dalam parit itu.

Difahamkan, ketika tiba di tempat kejadian tiba-tiba pemandu hilang kawalan dipercayai akibat jalan licin menyebabkan kereta terbabas ke dalam parit itu.

Kedua-dua anggota polis berjaya menyelamatkan diri dan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar untuk mendapatkan bantuan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis daerah Muar Superintendan Ahsmon Bajah ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, kedua-dua anggota tidak mengalami sebarang kecederaan dan kereta ditarik ke IPD Muar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2016 @ 9:22 PM