SEKUMPULAN murid menghasilkan lukisan coret.
SEKUMPULAN murid menghasilkan lukisan coret.
MURID bersama Zarif dan Asniza.
MURID bersama Zarif dan Asniza.
HM Digital

Sempena Hari Apresiasi Seni Sekolah Kebangsaan Mantin (SKM), Negeri Sembilan satu bengkel dan pameran seni diadakan untuk menghargai karya seni dihasilkan 181 murid tahun enam.

Ia antara aktiviti tahunan bagi warga sekolah mendekati dan menghayati karya seni.

Menariknya, ini tahun kedua sambutan itu diadakan dengan tema seni coret (doodle) dan buat julung kalinya seni itu diperkenalkan di peringkat sekolah rendah di Malaysia.

Ia turut mendapat kerjasama Doodict, satu organisasi yang menghasilkan lukisan coret dari Kuala Lumpur.

Menurut Penyelaras Projek Asniza Mohd Sani, Hari Apresiasi Seni itu diuruskan sepenuhnya murid tahun enam yang dilantik.

Jelasnya, ini memberi peluang kepada pelajar menguruskan pameran seni dan menghargai karya seni serta mengetahui skop masa hadapan iaitu peluang melanjutkan pelajaran dalam bidang kesenian.

“Secara tidak langsung ia memupuk minat pelajar mencintai karya seni.

“Pada masa sama dapat memupuk semangat kerjasama dan meningkatkan keyakinan individu ataupun kumpulan,” katanya.

Menerusi kerjasama Doodict, artis coret dari Kuala Lumpur yang terdiri daripada Zami Musa, Ady Shutterscream dan Akunapie, pelajar SKM berpeluang mempelajari teknik asas seni itu secara lebih terperinci.

Ketika bengkel berlangsung, murid dapat melihat dengan lebih dekat hasil coretan yang sudah siap, demonstrasi dan tayangan video disediakan Doodict.

Hari Apresiasi Seni dimeriahkan dengan artis jemputan Zalif Sidek yang turut merasmikan program itu.

Sementara itu, Guru Besar SKM Arifin Ismail berkata, melalui program ini murid berjaya membuat persepsi, mengenal pasti, memahami dan mengaplikasikan prosedur pengurusan sebelum, ketika serta selepas pameran seni visual yang terdapat dalam subjek Pendidikan Seni Visual.

“Secara tidak langsung murid dapat menzahirkan idea melalui pelbagai sumber.

“Murid dapat membuat apresiasi terhadap karya dan refleksi pameran berpandukan bahasa seni visual.

“Selain itu seni dengan disiplin ilmu yang lain, kehidupan, sejarah seni dan budaya dapat dihubung kait.

“Kami sangat memandang berat pembentukan murid supaya ilmu yang dipelajari dapat digunakan pada masa akan datang,” katanya. -Fazurawati Che Lah

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2018 @ 2:46 PM