GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Kalidevi Mogan Kumarappa

Kuala Lumpur : Sepuluh individu yang dijejaki polis susulan kejadian merusuh di lobi bangunan Parlimen, semalam sudah ditangkap dan seorang lagi wanita menyerah diri, hari ini.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Polis Kuala Lumpur, sehingga jam 10.15 pagi tadi, semua suspek yang jumlah keseluruhannya kini 11 orang berjaya ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh, berkata mereka disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

"Kita minta orang ramai yang mempunyai bukti atau maklumat lain berkaitan kejadian itu untuk tampil menyalurkan maklumat.

"Mereka boleh berhubung dengan pegawai kita di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-40482222," katanya.

Semalam, polis Kuala Lumpur mengeluarkan hebahan meminta 10 individu termasuk seorang anak Timbalan Menteri yang terbabit dalam kejadian merusuh itu tampil menyerah diri.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, pergaduhan berlaku membabitkan penyokong Ahli Parlimen Pasir Salak yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Tajuddin Abdul Rahman dan penyokong Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 November 2016 @ 4:16 PM