Md Khairuddin (tengah) bersalam dengan Lau sambil diperhatikan Eddy (kiri), semalam.
Md Khairuddin (tengah) bersalam dengan Lau sambil diperhatikan Eddy (kiri), semalam.
Siti Farahiyah Aziz

Kuala Lumpur: Bank Rakyat menyasarkan pertumbuhan lima sehingga 10 peratus bagi segmen pelanggan baharunya menjelang tahun depan.

Ketua Pegawai Operasinya, Md Khairuddin Arshad berkata, pertumbuhan itu disasarkan menerusi inisiatif Kempen Meningkatkan Pembiayaan Peribadi-i Naik Taraf Kediaman dan Kad Kredit-i.

“Setakat ini, Bank Rakyat merekodkan enam juta pelanggan dalam semua segmen termasuk deposit, kad kredit dan pembiayaan peribadi serta kediaman.

“Walaupun jumlah keuntungan semakin berkurangan daripada setahun ke setahun akibat persekitaran ekonomi yang tidak menentu, tetapi kita yakin mencapai sasaran pada tahun depan,” katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman Bank Rakyat bersama Harvey Norman dan Signature Kitchen di Menara Berkembar Bank Rakyat, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengurus Besar Harvey Norman Eddy Ng dan Pengarah Signature Kitchen Lau Kock Sang.

Md Khairuddin berkata, menerusi kerjasama itu pelanggan Pembiayaan Pembiayaan Peribadi-i Naik Taraf Kediaman dan Kad Kredit-i akan menikmati promosi istimewa apabila membuat pembelian perabot di Harvey Norman dan kelengkapan dapur di Signature Kitchen.

“Kempen ini adalah peluang terbaik pelanggan membeli kelengkapan rumah dan menaik taraf kediaman sedia ada atau baru.

“Tawaran naik taraf kediaman terbuka kepada pelanggan yang berkhidmat dalam sektor awam dan swasta serta pesara dengan pilihan cara pembayaran ansuran yang fleksibel.

“Kami menawarkan pembiayaan Pembiayaan Pembiayaan Peribadi-i sehingga RM200,000 untuk tempoh maksimum 10 tahun dengan kelulusan segera,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2016 @ 7:05 AM