Kuala Lumpur: Bank Kerjasama Rakyat (Malaysia) Berhad (Bank Rakyat) komited meningkatkan jumlah pasaran jualan pembiayaan peribadi-i antara 20 hingga 25 peratus tahun ini daripada RM1.3 bilion yang direkodkan tahun lalu.
Ketua Pegawai Operasinya, Md Khairuddin Arshad berkata, pihaknya percaya jumlah itu dapat dicapai biarpun berdepan situasi ekonomi yang mencabar.
Katanya, Bank Rakyat akan melipatgandakan usaha menerusi penubuhan hab pasukan jualan dan memperkenalkan produk yang memenuhi permintaan orang ramai.
“Kami mewujudkan pasukan jualan pada Januari 2015 bagi memastikan hubungan antara bank dan pelanggan terjaga. Hasilnya, pencapaian keseluruhan pasukan jualan ini mencecah RM1.3 bilion.
“Selain itu, ia menunjukkan potensi besar menembusi pasaran sektor swasta dan kami menyasarkan peningkatan 15 peratus jumlah pembiayaan peribadi-i disumbangkan oleh sektor swasta tahun ini,” katanya selepas majlis pelancaran Hab Pasukan Jualan dan penyampaian hadiah Realizing Dreams, di sini, semalam.
Menurutnya, Bank Rakyat menubuhkan beberapa hab jualan di seluruh negara bermula di Jalan Tangsi (Kuala Lumpur) tahun lalu, diikuti zon utara, selatan, timur, Sabah dan Sarawak tahun ini.
Md Khairuddin berkata, walaupun bergantung kepada pasaran dan ekonomi semasa, pihaknya memberi tumpuan kepada hab jualan di Kuala Lumpur.
“Setakat ini, produk yang kami tawarkan bagi segmen runcit ialah pembiayaan peribadi, perumahan dan kenderaan. Justeru, Bank Rakyat akan melancarkan beberapa produk baharu,” katanya.
Katanya, portfolio pembiayaan peribadi mempunyai peratusan sumbangan terbesar kepada kumpulan iaitu kira-kira 75 peratus, diikuti pembiayaan perumahan dan kenderaan.