PEMAIN Malaysia, Nafiizwan Adnan (kiri) ketika menentang pemain Malaysia, Ivan Yuen pada Kejohanan Squash Terbuka Malaysia yang diadakan di Stadium Squash Bukit Jalil. FOTO Eizairi Shamsudin
PEMAIN Malaysia, Nafiizwan Adnan (kiri) ketika menentang pemain Malaysia, Ivan Yuen pada Kejohanan Squash Terbuka Malaysia yang diadakan di Stadium Squash Bukit Jalil. FOTO Eizairi Shamsudin
Aida Adilah Mat


BERTEMU rakan senegara di pusingan awal sedikit merentap kegembiraan Nafiizwan Adnan pada aksi pusingan pertama Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia di Pusat Skuasy National, Bukit Jalil, di sini, hari ini

Pada perlawanan berkenaan dia bagaimanapun terpaksa bermandi peluh selama 72 minit sebelum dapat menundukkan Ivan Yuen 9-11, 11-6, 13-11, 12-10. 

Biarpun kemenangan itu berjaya menebus kegagalannya di tangan Ivan pada final Kejohanan Kebangsaan minggu lalu, namun itulah realiti yang perlu diterima dalam saingan Persatuan Profesional Skuasy (PSA). 

Melihat dari sudut positif, pertemuannya bersama Ivan mengajarnya untuk tidak mengenal erti putus asa dan terus berjuang sehingga ke penamat. 

"Perlawanan hari ini memang sukar dari segi fizikal dan mental. Tapi saya beritahu diri saya, selagi tidak bersalam, selagi tidak keluar gelanggang, selagi pengadil kata tamat, saya perlu terus berusaha. 

"Biarpun sedikit sedih kerana bertemu Ivan di pusingan awal ketika dia berada di prestasi terbaiknya, namun mental dan prestasi saya hari ini lebih baik dari minggu lalu," katanya. 

Menanti Nafiizwan yang juga bekas Asia di suku akhir adalah pilihan pertama kejohanan, Leo Au dari Hong Kong yang kali terakhir ditemuinya lima tahun lalu. 

Mengulas mengenai strateginya menentang Leo, Nafiizwan berkata dia akan mengkaji cara lawannya bermain menerusi analisis video dan berharap dapat memberi yang terbaik. 

Katanya, pengalaman berlatih bersama pemain Hong Kong ketika berkampung di luar negara, sedikit sebanyak akan membantunya apabila turun ke gelanggang esok.

Turut mengiringi Nafiizwan, adalah seorang lagi pemain negara iaitu Ng Eain Yow yang menewaskan pemain Australia Rex Hendrick 11-8, 13-11, 12-10.

Sementara itu dalam aksi wanita, Low Wee Wern menunjukkan peningkatan memberansangkan dalam permainannya apabila menduduki ranking ke-254 dunia, menundukkan pemain pilihan kelapan dari Hong Kong, Tsz Wing 11-8, 11-6, 11-6.

Turut mara adalah seorang lagi pemain wanita negara, S Sivasangari yang mudah menewaskan pemain India, Sunayna Kuruvilla 11-5, 11-6, 11-9.

Namun Rachel Arnold, Nazihah Hanis, Aika Azman gagal meneruskan perjuangan selepas tewas kepada lawan masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Julai 2018 @ 11:20 PM