ANGGOTA penyelamat mengeluarkan mayat dari bangkai kereta api. - Reuters
ANGGOTA penyelamat mengeluarkan mayat dari bangkai kereta api. - Reuters
SEORANG penumpang yang cedera mendapat rawatan sebelum dibawa ke hospital. - AFP
SEORANG penumpang yang cedera mendapat rawatan sebelum dibawa ke hospital. - AFP
KEADAAN di lokasi nahas di Kanpur Dehat. - Agensi
KEADAAN di lokasi nahas di Kanpur Dehat. - Agensi
AFP

Lucknow (India): Sekurang-kurangnya 116 maut dan lebih 200 cedera selepas kereta api ekspres tergelincir di Uttar Pradesh semalam, antara nahas paling buruk seumpamanya di negara ini dalam tempoh beberapa tahun.

Pekerja penyelamat berusaha mengeluarkan mangsa yang terperangkap di dalam gerabak kereta api yang tergelincir itu.

Seorang penumpang berkata: “Kami yang sedang tidur dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat pagi tadi dan keadaan ketika itu gelap gelita.

“Saya memang bernasib baik dan bersyukur terselamat. Pengalaman ini hampir meragut nyawa kami sekeluarga.”

Kebanyakan penumpang tidur apabila kereta api 14 gerabak itu tergelincir dari landasan di kawasan terpencil di luar bandar Kanpur, Uttar Pradesh.

Ia bencana paling buruk sejak 2010 apabila sebuah kereta api penumpang merempuh kereta api barang di timur, Bengal Barat, menyebabkan 146 terbunuh dan mencederakan lebih 200 yang lain.

“Angka kematian meningkat sehingga 116 orang,” kata ketua polis Uttar Pradesh, Daljit Singh Chawdhary.

Sementara itu, 150 mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital berhampiran yang turut berada dalam keadaan berjaga-jaga.

Rakaman televisyen menunjukkan pekerja penyelamat menggunakan pemotong logam dan peralatan lain untuk membelah gerabak yang berselerak dengan bagasi serta beg pakaian.

Ahli keluarga mangsa nahas membanjiri stesen kereta api di Indore, tengah India, sambil memegang gambar orang tersayang.

Pelajar, Nitika Trivedi yang menaiki kereta api dengan keluarganya berkata: “Saya tidak pernah melihat perkara seperti ini. Memang mengerikan. Tidak mungkin saya lupakan gambaran mayat yang berserakan.”

Sementara itu, bakal pengantin Ruby Gupta yang cedera ringan dalam kejadian itu berkata, dia tidak dapat menemui bapanya.

Media tempatan melaporkan, kereta api itu sarat dengan penumpang berkeluarga, dengan sebahagiannya dalam perjalanan untuk ke majlis perkahwinan.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan India, Suresh Prabhu dalam satu kenyataan berkata, kerajaan akan menyiasat punca kejadian dan akan memberikan pampasan kepada keluarga mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2016 @ 5:23 AM