DUA kereta api penumpang yang terbabit dalam nahas, semalam.
DUA kereta api penumpang yang terbabit dalam nahas, semalam.
AFP

New Delhi: Dua kereta api penumpang tergelincir ketika melintas jambatan yang dilanda banjir kilat, mengakibatkan sekurang-kurangnya 27 orang terbunuh, semalam.

Pasukan penyelamat menghabiskan masa sepanjang malam mencari penumpang yang terperangkap dalam gerabak kereta api yang terbalik selepas arus deras melimpah dari sungai ke landasan di Madhya Pradesh.

Kira-kira 300 orang berjaya diselamatkan selepas kedua-dua kereta api itu tergelincir selang beberapa minit di luar pekan Harda.

Kejadian berlaku pada tengah malam, kata polis dan pegawai tempatan.

Kereta Api Ekspres Kamayani dari Mumbai tergelincir beberapa minit selepas air menderu dari Sungai Machak menenggelamkan landasan sebuah jambatan kecil, kata pengerusi lembaga perkhidmatan kereta api India, AK Mittal.

Pada masa sama, Kereta Api Ekspres Janata dari arah bertentangan dari Patna menghala ke Mumbai melintas jambatan itu tidak lama kemudian.

“Hujan lebat melanda kawasan itu sejak beberapa hari lalu. Jalan raya rosak teruk,” katanya.

Penumpang yang terselamat berkata, mereka tidur ketika kejadian dan terkejut apabila gerabak tergelincir dan mula dipenuhi air berlumpur.

Manoj Mongi berkata: “Saya tercampak tiba-tiba dari tempat duduk. Penumpang lain menjerit dan bertempiaran lari.

“Saya berjaya keluar dan melihat tiga wanita terapung, tetapi tidak mampu menyelamatkan mereka.”

Ketua polis landasan kereta api negeri, MS Gupta mengesahkan 29 orang terbunuh dan 70 yang lain cedera.

“Semua gerabak dikosongkan dan semua mayat dikeluarkan,” katanya.

Jurucakap kerajaan Madhya Pradesh, Anupam Rajan berkata, mereka yang mati adalah 13 lelaki, 11 wanita dan lima kanak-kanak.

Rakaman disiarkan di televisyen menunjukkan deretan gerabak terdampar di padang berlumpur dengan anggota penyelamat menggunakan alat pemotong khas untuk mengeluarkan mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2015 @ 9:18 AM