KEDIAMAN Singh yang dirempuh kereta api itu. - Agensi
KEDIAMAN Singh yang dirempuh kereta api itu. - Agensi
KEADAAN di tempat kejadian. - EPA
KEADAAN di tempat kejadian. - EPA
Agensi

New Delhi: “Saya melihat semua gerabak kereta api itu bergegar sebelum saling merempuh dan tiba-tiba satu daripadanya ‘terbang’ ke arah rumah saya.”

Warga emas, Jagat Singh, saksi nahas kereta api yang meragut 23 nyawa di India berkata, ketika kejadian dia duduk di anjung rumahnya sekitar jam 6 petang (waktu tempatan), Sabtu lalu.

Kediamannya yang terletak cuma 10 meter dari landasan turut musnah apabila satu gerabak kini memenuhi ruang tamunya manakala selebihnya terjulur dari anjung.

Sekurang-kurangnya 156 orang penumpang cedera selepas 14 gerabak kereta api itu tergelincir dari landasan di daerah Muzaffarnagar di negeri Uttar Pradesh, 130 kilometer dari New Delhi, petang kelmarin.

Kemalangan itu juga nahas keempat terbesar membabitkan pengangkutan itu, tahun ini.

Gerabak kereta api ekspress itu remuk selepas tergelincir pada kelajuan 100 kilometer sejam dan merempuh rumah serta sebuah kolej di kawasan berhampiran.

Pasukan penyelamat terpaksa menggunakan gergaji untuk memotong gerabak berkenaan dan memeriksa bangkai kereta api itu dengan bantuan anjing pengesan.

“Kami membuat pemeriksaan menyeluruh pada gerabak itu untuk mencari mangsa yang terselamat atau terbunuh sebelum membersihkan landasan itu,” kata ketua polis daerah Muzaffarnagar, Anant Dev.

Orang ramai mengerumuni kawasan kejadian untuk membantu penumpang terselamat keluar dari kereta api itu yang kebanyakan gerabaknya terbalik dan terbelah.

Beberapa mangsa parah, tetapi kebanyakannya sudah dibenarkan pulang, kata Dev.

Kereta api ekspress Utkal-Kalinga itu berlepas dari Puri, timur India, petang Khamis lalu dan dijadualkan tiba di Haridwar semalam.

Kerajaan mengarahkan siasatan dijalankan berhubung kemalangan itu dalam pada timbul spekulasi mengatakan kerja penyelenggaraan yang tidak dijadualkan sedang dijalankan ketika kejadian.

“Terlalu awal untuk membuat spekulasi. Penyelenggaraan dibuat setiap masa tetapi semuanya akan jelas selepas siasatan selesai,” kata seorang pegawai kanan stesen kereta api itu yang enggan namanya didedahkan.

Penyiasat turut meneliti kemungkinan ada unsur sabotaj.

Rangkaian kereta api India yang keempat terbesar di dunia dan menjadi pengangkutan utama di negara yang padat dengan penduduk itu, namun ia kurang diselenggara dan kemalangan maut sering terjadi.

Pakar turut menyalahkan kurangnya dana dan tahap keselamatan sebagai punca kekerapan nahas kereta api.

Kemalangan terbaru itu yang keempat tahun ini. Tahun lalu juga di Uttar Pradesh, nahas kereta api pada November menyebabkan 146 orang terbunuh. Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2017 @ 9:47 AM