Kehadiran Alif pelengkap hidup Faye dan suami, Azmi Hata. FOTO Instagram
Kehadiran Alif pelengkap hidup Faye dan suami, Azmi Hata. FOTO Instagram
Ramlah Zainal


PELAKON Faye Kusairi selamat melahirkan bayi lelaki di pusat perubatan swasta di Rampai Puteri, Sri Rampai, Kuala Lumpur, pada 9 April lalu.

Faye atau nama sebenarnya, Dayangku Faratiwan Adnil Awang Kusairi, 32, berkata, bayi seberat 3 kilogram itu selamat dilahirkan secara normal jam 10.45 malam.

"Saya dimasukkan ke bilik bersalin pada 5 petang, Isnin lalu dan selepas bertarung selama enam jam, akhirnya, saya selamat melahirkan bayi lelaki.

"Alhamdulillah, saya dan suami sangat bersyukur kepada Allah kerana anak kami sihat dan cukup sifatnya. Setakat ini, kami tidak nampak lagi, wajah anak kami iras muka saya atau suami lagi.

"Kami juga sama-sama untuk memilih nama anak dan sepakat untuk menamakan bayi kami, Alif Azmi yang bermaksud kawan rapat," katanya kepada Harian Metro.

Isteri kepada pengarah drama Azmi Hatta ini juga berkata, dia kini menjalani tempoh berpantang di rumah ibunya di Bukit Antarabangsa.

"Selepas selesai tempoh berpantang, saya akan kembali berlakon jika ada tawaran nanti.

"Insya-Allah, jika tiada sebarang masalah, saya juga ingin kembali bekerja," katanya.

Terdahulu, Faye juga berkongsi berita gembira dan wajah bayi sulungnya itu menerusi laman Instagram miliknya pada Khamis lalu.

Pelakon filem Tombiruo: Penunggu Rimba ini dan suami turut meraikan ulang tahun pertama perkahwinan mereka.

Faye diijabkabulkan dengan Azmi pada 9 April 2017 dalam majlis tertutup di kondominium D'Pines, Jalan Ampang dengan dihadiri ahli keluarga terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 April 2018 @ 4:54 PM