Oleh Afiq Hanif


Sony Malaysia melancarkan beberapa model fon telinga dan kepalanya yang beresolusi tinggi serta pemain media Walkman yang baru.

Pemain MP3, NWZ-A15 yang baru daripada kategori Walkman bersaiz poket ringan dan terkecil di dunia menampilkan tek­nologi audio resolusi tinggi yang mudah dibawa ke mana-mana menggunakan amplifier unik Sony.

Amplifier S-Master HX digital itu meningkatkan kualiti bunyi sambil me­ngurangkan bunyi bising selain mempunyai ketahanan bateri yang mampu bertahan 30 jam.

Selain memori dalaman 16GB, pengguna juga boleh menggunakan kad memori mikroSD untuk menambah koleksi lagu.

Fon kepala kategori MDR yang juga beresolusi tinggi menampilkan tiga model terbaru iaitu MDR-Z7, MDR-1A dan MDR-1ADAC.

MDR-Z7 menggunakan pemacu baru 70mm HD bagi memberi kesan bunyi resolusi tinggi yang dapat dirasai sehingga keseluruhan badan yang dipanggil Sony 'Feel The Air'.

Ia memberikan kesan bunyi 3D yang lebih luas manakala MDR-1A adalah versi kecil Z7 dengan pemacu 40mm HD, tetapi mengekalkan kualiti seperti Z7 dengan diafgram LCP yang diselaputi aluminium dan kabel OFC bersalut perak.

Manakala MDR-1ADAC mempu­nyai pengubah digital ke analog (D/A) terbina bersama fon kepala.

Peng­guna boleh memilih sumber audio daripada beberapa model Walkman, Xperia, PC, iPod dan iPhone.

Bunyi akan diubah menggunakan amplifier Sony S-Master HX digital di dalamnya, tetapi masih mengekalkan keaslian isyarat.

Manakala bateri yang boleh dicas melalui USB dapat memainkan lagu sehingga 7.5 jam lamanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Oktober 2014 @ 5:00 AM