SONY Walkman NW-ZX2
SONY Walkman NW-ZX2
SONY Walkman NW-ZX2
SONY Walkman NW-ZX2
Oleh Afiq Hanif


Suatu ketika dulu, teknologi muzik paling menarik yang menjadi kegemaran penguji sudah pasti walkman keluaran Sony.

Namun, selepas muzik mengalami evolusi teknologi termasuk masalah cetak rompak. Walkman seakan-akan tenggelam bersama perubahan.

Selepas sekian lama, Sony secara tiba-tiba mengeluarkan peranti audio mudah alih ini diberi nama Sony Walkman NW-ZX2 yang mampu memainkan Audio Resolusi Tinggi (Hi-Res Audio) bagi kualiti audio terbaik.

Cuma, harga jualannya tidak seperti dulu apabila Sony menawarkan peranti baru ini pada harga RM4,999 yang pasti mahal seakan-akan membeli motosikal.

Penguji melihat peranti ini fokus kepada peminat audio yang mahukan pengeluaran bunyi terbaik untuk muzik kegemaran.

NW-ZX2 boleh memainkan lagu daripada koleksi digital pengguna muzik pada 192 kHz/24 bit iaitu 256 kali lebih baik dari kualiti CD dalam format seperti MP3, WMA, AAC, FLAC, AIFF, WAV, ALAC dan DSD.

Bagi peminat audio, anda sudah pasti tahu apa makna format di atas!

Dalam memastikan pengeluaran audio Hi-Res yang terbaik, Sony melengkapkan pelbagai teknologi Sony Digital Sound Enhancement Engine HX (DSEE HX) yang mengembalikan bunyi julat tinggi yang hilang ketika proses mampatan di MP3.

Penguji mendapati ia berjaya meningkatkan kualiti bunyi menghampiri kualiti asal ketika muzik terbabit mula-mula dirakam.

Manakala S-MASTER HX pula menjadi penguat (amplifier) digital bagi mengurangkan gangguan dan bunyi bising dalam julat frekuensi yang luas sambil menghasilkan semula bunyi berfrekuensi tinggi sehalus kristal.

Satu lagi teknologi, ClearAudio menjadi tetapan bunyi automatik tanpa perlu ‘equaliser’ yang banyak untuk pengalaman bunyi yang lebih hebat.

Selain teknologi dalaman yang premium, Sony memastikan rekaan NW-ZX2 sama premium dengan harga mewahnya.

Kerangkanya dibentuk daripada aluminium yang tebal ditambah dengan lapisan aloi bersalut emas di samping memastikan rintangan elektrik rendah.

Kemasan luarannya pula menggunakan kulit dengan bahagian bawah terbonjol bagi memastikan ia kekal selesa dalam genggaman.

Kualiti penghasilan bunyi seperti bass yang lebih dalam dihasilkan dengan penggunaan komponen audio seperti sumber kuasa daripada kapasitor dwi lapisan, OS-CON serta bateri berkapasiti besar.

Penggunaan papan induk PCB berlapis menyumbang kepada kualiti bunyi yang halus dan jelas di telinga.

Meskipun ia pemain audio, Sony Walkman NW-ZX2 dikuasakan Android 4.2 JellyBean jadi pengguna boleh memasang mana-mana aplikasi pemain lagu ataupun equaliser sebagai perisian tambahan.

Ia mempunyai memori dalaman 128GB dengan pilihan tambahan melalui slot kad memori mikroSD sehingga 128GB.

Baterinya mampu memainkan lagu berkualiti MP3 sehingga 60 jam lamanya atau kualiti FLAC 192kHz/24bit sehingga 33 jam dengan sekali cas penuh.

Ia turut menyokong sambungan Bluetooth 3.0 serta sambungan pantas melalui sentuhan NFC.

INFO

Sony Walkman NW-ZX2

- Harga: RM4,999

- Pengeluar: Sony

- Pertanyaan: Sony

- Laman Web: sony.com.my

- Ciri: Pemain audio mudah alih

- Pro: Bunyi audio tiada tandingan

- Kontra: Harganya

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mac 2015 @ 5:03 AM