DARI kiri,  Zed, Amir dan Ketua Pegawai Eksekutif Budi Group, Datuk Mohd Irwan Wiji pada sidang media.
DARI kiri, Zed, Amir dan Ketua Pegawai Eksekutif Budi Group, Datuk Mohd Irwan Wiji pada sidang media.
BARISAN AJK Seniman dan kakitangan Budi Group yang terbabit dalam program ini.
BARISAN AJK Seniman dan kakitangan Budi Group yang terbabit dalam program ini.
Ridzuan Abdul Rahman


Keadaan ekonomi yang tidak menentu membuatkan sebahagian penggiat seni gusar kerana peluang kerja semakin berkurangan.

Persatuan artis memainkan peranan penting mencari peluang sesuai bagi membantu ahli.

Pendekatan ini dipraktikkan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) yang bekerjasama dengan badan korporat dan swasta dalam penganjuran acara.

Dalam masa terdekat, Seniman bekerjasama dengan Budi Group menganjurkan Hari Bersama Pelanggan yang akan berlangsung di Budi X-treme Fun Park, Teluk Panglima Garang, Selangor pada 19 dan 20 November ini.

Presidennya, Zed Zaidi berkata, pihaknya sentiasa berusaha mencipta peluang buat ahli yang diagihkan secara adil agar semua dapat merasa.

“Tidak dinafikan artis sering bertanya kami sekiranya ada ‘job’ untuk mereka. Kami pula tak boleh menjanjikan wang tapi hanya boleh buka ruang untuk mereka cari pendapatan.

“Program dengan Budi Group misalnya, kami letakkan semua ahli dalam kategori sama dan mencadangkan nama sesuai.

“Kami nak beri keuntungan kepada kedua-dua belah pihak. Apabila sesebuah syarikat menganjurkan acara besar membabitkan masyarakat, mereka pasti memerlukan khidmat artis,” katanya.

Menurutnya, peranan Seniman ialah mencadangkan nama sesuai mengikut mana-mana kategori acara yang dijalankan.

“Ada yang menyanyi, mengacara dan pelbagai lagi. Harga yang diberikan perlu sama kerana kami mahu mengelak cakap-cakap tak elok di belakang.

“Perlu diingat Seniman sendiri mengharapkan dana daripada kerajaan. Kami bukan syarikat pengurusan artis tapi hanya membantu menjaga kebajikan ahli dengan cara begini.

“Ia bukan sesuatu yang baru kerana kami pernah menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak bagi menambah wang persatuan. Ahli kami juga terbabit dengan teater Putera La Galigo,” katanya.

Kata Zed, Seniman juga tidak menetapkan jumlah tertentu sebagai syarat kepada pihak yang berminat menjalin kerjasama.

“Apabila perjanjian dimeterai, syarikat perlu memberi sejumlah dana untuk persatuan tapi jumlahnya terserah kepada mereka.

“Persembahan artis pula dikira lain. Kami tak pernah tawarkan artis secara percuma kepada mana-mana pihak.

“Sesiapa saja yang mengundang artis, perlu bayar kerana itu kerja mereka. Artis tiada pendapatan tetap dan semua pihak perlu menghargai bakat mereka,” katanya.

Hari Bersama Pelanggan Budi Group akan dimeriahkan dengan kehadiran antaranya Beego, Nico-G, Joey BPR, Keena (Mentor), Aliff (AF), Zack (KOOL), Mat Over dan Syed Ali.

Acara ini terbuka kepada orang ramai bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.

Sementara itu, Pengarah Perhubungan dan Pemasaran Budi Group Datuk Mohd Amir Mohd Esa berkata, pihaknya gembira bekerjasama dengan Seniman kerana dapat mewujudkan situasi menang-menang.

“Program ini landasan terbaik untuk memperkenalkan syarikat kami kepada masyarakat.

“Populariti artis yang ditampilkan pasti mampu menarik kehadiran ramai pengunjung,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2016 @ 10:06 AM