ANTARA penerima sumbangan.
ANTARA penerima sumbangan.
Ridzuan Abdul Rahman


Sambutan Hari Seniman yang diadakan di Pawagam Mini P Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hulu Klang, Selangor, malam kelmarin berlangsung sederhana, tetapi meriah dengan kehadiran ramai artis dan penggiat seni.

Menepati tema, program kali ini tidak tampil dengan konsep gah dan glamor, tetapi berlangsung penuh tertib dengan pengisian bacaan tahlil untuk anak seni yang sudah meninggal dunia, penyampaian sumbangan untuk golongan artis kurang bernasib baik dan penyampaian insentif filem cereka.

Majlis bertemakan Wasatiyyah Dalam Seni ini turut dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak; Pengerusi Finas Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib dan Ketua Pengarah Finas Datuk Kamil Othman.

Tarikh 29 Mei diiktiraf sebagai Hari Seniman oleh kerajaan sempena pemergian Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang meninggal dunia pada tarikh berkenaan pada 1973.

Objektif Hari Seniman juga adalah untuk memberi inspirasi pada seniman tanah air kita.

Majlis yang diadakan dalam Pawagam Mini P Ramlee itu mungkin ada yang mempertikaikannya kerana dilihat tidak sesuai kerana terlalu sempit hingga jemputan melimpah ke luar serta acara keraian yang terlalu singkat.

Mengulas mengenai perkara itu, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Rozaidi Jamil atau Zed Zaidi berkata, mereka sudah melakukan yang terbaik dan berpuas hati dengan sambutan daripada warga seni.

“Seniman ialah badan bukan kerajaan yang hanya menanti dana daripada kerajaan. Kalau dulu ada bajet, semua persatuan berebut-rebut nak kendalikan Hari Seniman. Namun, apabila tiada bajet, semuanya menolak dan Seniman terpaksa ambil inisiatif sendiri. Mujur ada Finas yang bantu sediakan lokasi. Tak dinafikan persatuan lain juga membantu sedikit sebanyak,” katanya.

Zed berkata, dengan kekangan bajet pihaknya terpaksa menyusun acara yang sederhana, tetapi tetap bermakna dan meninggalkan kesan terhadap semua yang hadir.

“Selain itu, kami juga dapat sumbangan daripada beberapa penaja yang sudi bekerjasama. Kami bukan saja menyumbangkan wang tunai kepada artis yang kurang bernasib baik, tapi sesetengahnya turut menerima beras, minyak masak dan barangan lain sebagai persediaan menyambut Ramadan. Pemilihan mereka dibuat secara adil dan giliran yang lain menanti selepas ini,” katanya.

Zed berkata, tema Wasatiyyah Dalam Seni dipilih kerana mahu menyampaikan mesej kepada artis dan orang luar bahawa tak semestinya hanya dengan bajet besar saja mereka boleh menganjurkan sebarang program.

“Seniman cadangkan perkara ini dan kami bertanggungjawab untuk anjurkan Hari Seniman. Kalau tiada dana, kami cari orang yang sudi menjadi penaja,” katanya.

Simbolik acara ialah anak P Ramlee iaitu Sazali menjadi penerima pertama sumbangan dan diikuti Suria, balu Nasir P Ramlee.

Sementara itu, 17 syarikat produksi perfileman tempatan menerima dana bernilai RM2.83 juta di bawah Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC) sebagai ganjaran atas kejayaan 27 filem terbitan mereka yang mendapat kutipan pecah panggung sepanjang tahun lalu.

Penyerahan ITFC disempurnakan Salleh yang diberikan kepada Primeworks Studios Sdn Bhd yang menerbit Rembat, Girlfriend Kontrak, Love Supermoon, Astro Shaw Sdn Bhd (Polis Evo, Manisnya Cinta Di Cappadocia, Suamiku Encik Perfect 10, Pilot Cafe, Legenda Budak Setan 3, Terbaik Dari Langit dan Maindhan) dan KRU Studios (Cicakman 3).

Lain-lain penerima ialah Skop Productions Sdn Bhd (Villa Nabila), Suhan Movies & Tradings Sdn Bhd (Isyarat Cinta) dan Tayangan Unggul Sdn Bhd (Mana Mau Lari? dan Amir Loqman Pergi Ke Laut).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mei 2016 @ 11:39 AM