Mohamad Fahd Rahmat


Johor Bahru: Lapan lelaki yang terbabit dalam rusuhan di pekan Endau, Mersing, malam Jumaat lalu, direman empat hari hingga Rabu ini bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Johor Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, mereka ditahan di sekitar Endau, Mersing, dengan dua daripadanya menyerah diri.

"Kes ini sudah selesai dan tiada sebarang unsur samseng atau gangsterisme dalam kes ini.

"Masyarakat diminta berhenti membuat spekulasi mengenai isu perkauman atau gangsterisme berkaitan kes ini.

“Spekulasi akan menyebabkan perkara kecil menjadi besar hingga menggugat keharmonian dan perpaduan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Mersing Deputi Superintendan Cyril Edward Nuing, berkata, lapan lelaki berusia antara 16 hingga 53 tahun ditahan kerana merusuh selepas berita kejadian pergaduhan empat lelaki berketurunan Cina dan seorang India memukul tiga remaja Melayu berusia 16 tahun tersebar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 November 2016 @ 5:33 PM