KEADAAN kereta mangsa. FOTO Ihsan Bomba
KEADAAN kereta mangsa. FOTO Ihsan Bomba
Nurul Amanina

EMPAT maut, manakala dua cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah trak tunda dengan sebuah kereta di Jalan Mersing - Endau, di Mersing, pagi tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Azhari Awi berkata, mangsa maut dikenali sebagai

Mohammad Nurul Haq Mohamad, 22, Tengku Zahid Tengku Endut, 52, Kamarudin Salim Mualaf, 51, dan seorang lagi lelaki berusia 30-an.

“Mereka meninggal dunia di lokasi kejadian. Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Katanya, Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan mengenai insiden terbabit jam 4.20 pagi.

Beliau berkata, susulan itu, dua jentera dengan sebuah kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan dua kenderaan utiliti berserta dengan 20 anggota dikejarkan ke lokasi.

“Terdapat empat mangsa tersepit di dalam kereta dan mereka kemudian disahkan meninggal dunia oleh pembantu pegawai perubatan dari Hospital Mersing,” katanya.

Bagaimanapun katanya, dua individu berusia 34 dan 42 tahun yang

menaiki trak tunda hanya cedera ringan.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya, jam 6.25 pagi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing, ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2020 @ 10:24 AM