FOTO Zul Ikhwan Mohamad dan Facebook
FOTO Zul Ikhwan Mohamad dan Facebook
Zul Ikhwan Muhammad


Mersing: Lapan lelaki berusia antara 16 hingga 53 tahun ditahan bagi membantu siasatan berhubung pergaduhan di pekan Endau, di sini, malam tadi.

Bagaimanapun, polis memberi amaran keras dan meminta orang ramai tidak menyebarkan khabar angin kononnya kejadian itu membabitkan pergaduhan kaum.

Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan Cyril Edward Nuing, berkata berita pergaduhan mula tersebar selepas empat lelaki berketurunan Cina dan seorang India memukul tiga remaja Melayu berusia 16 tahun.

Katanya, remaja Melayu itu dikatakan cuba memasuki premis perniagaan di Taman Fajar, Endau, di sini, kira-kira 11 malam tadi.

Beliau berkata, akibat kejadian itu ketiga-tiga remaja berkenaan cedera di beberapa bahagian badan dan kepala sebelum mereka bertindak membuat laporan di Balai Polis Endau.

Berikutan itu, sekumpulan lelaki Melayu berkumpul di depan Balai Polis Endau kerana tidak berpuas hati dengan tindakan suspek terhadap ketiga-tiga remaja berkenaan.

“Mereka kemudian bertindak pergi ke premis terbabit dan merosakkan tiga kenderaan milik suspek, pada 11.30 malam.

“Tindakan pantas polis berjaya meredakan keadaan serta menyuraikan kumpulan lelaki yang tidak berpuas hati itu," katanya.

Beliau berkata, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Selain itu, katanya, polis turut membuka kertas siasapan mengikut Seksyen 453 kerana melakukan pecah bangunan dan Seksyen 147 kanun sama kerana merusuh.

Cyril turut memberi amaran keras kepada mereka yang terbabit dalam kejadian itu tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh memburukkan lagi keadaan serta menjejaskan keharmonian masyarakat.

Pada masa sama, katanya, mereka yang menyebarkan hasutan dan memainkan isu perkauman dalam kes berkenaan juga boleh didakwa mengikut Sekyen 4 Akta Hasutan 1948.

“Ingin saya ingatkan kepada orang ramai supaya tidak memanipulasikan fakta sebenar atau cuba memainkan isu perkauman dalam kes-kes seperti ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2016 @ 2:15 PM