SEBAHAGIAN 20 beregu yang menyertai Kejohanan Badminton Gugusan Sungai Isap.
SEBAHAGIAN 20 beregu yang menyertai Kejohanan Badminton Gugusan Sungai Isap.
Oleh Asrol Awang

Kuantan: Pasangan beregu Mohamad Fauzi Abdullah dan Mohd Aiman Ahmad membuktikan mereka layak dinobat johan Kejohanan Badminton Gugusan Sungai Isap di Dewan Sungai Isap Damai, baru-baru ini.

Pada aksi final, Fauzi-Aiman menewaskan pasangan Mohd Rosdi Mohamad-Mohd Bakri Jusoh 21-18, 21-19 pada pertandingan yang disertai 20 beregu dari Gugusan Sungai Isap.

Selaku johan, pasangan itu membawa pulang barangan elektrik dan hamper manakala naib johan pula meraih hamper.

Hadiah disampaikan Setiausaha Kawasan Rukun Tertangga (KRT) Sungai Isap Damai Nordin Ahmad.

Nordin berkata, penganjuran kejohanan bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim penduduk Gugusan Sungai Isap terutama ahli KRT.

“Dengan sambutan menggalakkan, kami harap kejohanan tahun depan mendapat lebih banyak penyertaan terutama daripada golongan muda,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Disember 2014 @ 7:22 AM