Faizul Azlan Razak

Kuala Terengganu: Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPIN) Terengganu tidak bercadang menutup 20 peratus Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang dilaporkan tidak aktif di negeri itu.

Pengarahnya, Mohd Rosli Alias berkata, pihaknya sedang merangka langkah bagi memastikan KRT terbabit kembali diaktifkan semula mulai tahun ini.

Beliau berkata, setakat ini terdapat 529 KRT di seluruh Terengganu yang mana 80 peratus daripadanya cukup aktif menjalankan aktiviti dan program.

"Kita juga menyasarkan lapan penubuhan KRT baru setiap tahun untuk setiap daerah dan setakat ini, satu KRT di Hulu Terengganu sudah ditubuhkan tahun ini.

"Setiap KRT juga diberikan peruntukan RM6,000 setahun bagi membolehkan menjalankan aktiviti dan program," katanya selepas program Harmoni Peringkat Negeri Terengganu di Taman Sinar Harapan di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu Alias Harun.

Mohd Rosli berkata, pihaknya mendapati 20 peratus KRT yang tidak aktif disebabkan masalah kepimpinan dan penyusunan semula jawatankuasa KRT terbabit.

Menurutnya, pihaknya juga berharap kepimpinan baru terutama dengan mengetengahkan pelapis muda dapat diketengahkan menyertai KRT.

"Kita berasakan KRT yang tidak aktif ini kerana kepimpinan sudah tidak berminat atau menghadapi masalah lain.

"Jadi, kita bantu dan berusaha mengaktifkan semula KRT terbabit.

"Semua KRT yang ada ini juga sentiasa dinilai dan kita tidak mahu tubuh KRT ini tetapi tidak bergerak dan melakukan apa-apa program," katanya.

Sementara itu, Rosli berkata, pihaknya juga menubuhkan Skuad Uniti yang bertindak membantu mangsa bencana alam seperti banjir yang berlaku baru-baru ini.

"Skuad Uniti ini ditubuhkan di setiap daerah dan mereka akan bertindak sebagai pasukan hadapan sekiranya berlaku bencana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2023 @ 3:27 PM
Pengarah Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPIN) Negeri Terengganu, Mohd Rosli Alias. FOTO FAIZUL AZLAN RAZAK
Pengarah Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPIN) Negeri Terengganu, Mohd Rosli Alias. FOTO FAIZUL AZLAN RAZAK