Anggota penguat kuasa MBKT menyita sebuah premis perniagaan di Manir. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Anggota penguat kuasa MBKT menyita sebuah premis perniagaan di Manir. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: Sebanyak 16 premis perniagaan di Durian Burung, Manir, Gong Badak dan Wakaf Tembesu, di sini, diperiksa serta diserahkan waran tahanan dalam Ops Sita Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), hari ini.

Datuk Bandar Kuala Terengganu Mohd Zulkifli Abu Bakar berkata, tindakan itu diambil berikutan jumlah tunggakan cukai taksiran keseluruhan 16 premis itu sudah mencecah RM193,574.31.

"Operasi yang dijalankan ini untuk menyerahkan Borang F kepada pemilik premis bagi meminta mereka menjelaskan baki tunggakan cukai taksiran masing-masing.

"MBKT sudah mengeluarkan Borang E kepada mereka pada September dan Oktober lalu tetapi mereka gagal membuat bayaran sehingga tamat tempoh 15 hari yang diberikan," katanya.

Menurutnya, pihaknya terpaksa mengeluarkan Borang F hari ini iaitu waran tahanan dengan memberi masa sehingga Ahad untuk menjelaskan tunggakan dan jika masih tidak berbuat demikian MBKT akan menyita semua barang pemilik atau penyewa di premis berkenaan.

Katanya, dalam operasi itu juga sebuah premis disita dan diserahkan Borang H untuk dibawa ke mahkamah bagi proses lelongan mengikut Seksyen 151 Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2016 @ 2:16 PM