GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menyediakan 36 tapak bazar Ramadan membabitkan sebanyak 4,385 petak, termasuk di daerah Kuala Nerus tahun ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak 26 tapak membabitkan 3,694 petak disediakan dalam kawasan bandaraya manakala sepuluh tapak membabitkan 691 petak di Kuala Nerus.

Datuk Bandar MBKT, Rozali Salleh berkata, empat daripada 26 tapak bazar Ramadan akan diswastakan dan tender dijangka buka minggu depan.

Katanya, sebanyak 4,099 petak disediakan untuk jualan makanan, manakala 286 petak untuk gerai pelbagai.

"Empat tapak bazar Ramadan iaitu di Dataran Shah Bandar dan dua di kawasan tempat letak kereta serta di kawasan stesen teksi Kampung Tanjung, di sini akan diswastakan.

"Tender untuk tapak bazar Ramadan berkenaan akan dibuka minggu depan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas mengenai prosedur operasi standard (SOP) bazar Ramadan, Rozali berkata, garis panduan dan taklimat pematuhan serta langkah pencegahan bagi menangani penularan pandemik Covid-19 akan disampaikan kepada peniaga bazar Ramadan.

Katanya, peniaga dan penganjur bazar Ramadan diminta mengutamakan pematuhan SOP yang akan ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan (KKM).

"MBKT tidak akan bertanggungjawab jika bazar Ramadan diarahkan ditutup oleh KKM atas kesalahan mengabaikan pematuhan SOP.

"MBKT juga akan memulangkan bayaran pendahuluan kepada peniaga dan penganjur jika bazar Ramadan tidak dibenarkan dibuka susulan peningkatan kes Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Februari 2022 @ 10:38 AM