Pengarah APMM Terengganu Kapten Zainolabidin Jusoh menunjukkan diesel yang ditemui dalam bot nelayan yang ditahan. FOTO Aswadi Alias
Pengarah APMM Terengganu Kapten Zainolabidin Jusoh menunjukkan diesel yang ditemui dalam bot nelayan yang ditahan. FOTO Aswadi Alias
Zaid Salim

Kuala Terengganu: Tiga bot termasuk sebuah milik nelayan tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam Ops Khas Ganding Timur sejak Isnin lalu kerana menggunakan pukat tunda di perairan Terengganu.

Pengarah APMM Wilayah Timur, Datuk Mamu Said Alee berkata, bot berkenaan ditahan di perairan sekitar 101 hingga 103 batu nautika dari Kuala Terengganu berhampiran pelantar minyak Malong antara 12 tengah hari hingga 6 petang semalam.

Menurutnya, seramai 25 awak-awak dan tekong berusia 21 hingga 56 tahun ditahan kerana tidak memiliki dokumen serta permit sah untuk menjalankan penangkapan ikan di kawasan terbabit.

Katanya, pihaknya merampas ketiga-tiga bot berkenaan membabitkan nilai kira-kira RM3 juta.

"Operasi khas ini dijalankan sejak Isnin lalu dan akan berakhir esok membabitkan 150 pegawai dan anggota APMM dari Wilayah Timur.

"Kami menjalankan rondaan dan pemeriksaan meliputi perairan Tanjung Gemok, Pahang hingga ke Tok Bali, Kelantan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2016 @ 2:04 PM