Melaka: Bekas bintang bola sepak Olimpik 1972 dan 1980, Datuk Soh Chin Aun (kiri) bangga dengan pencapaian skuad Melaka United (MU) yang muncul juara Liga Perdana musim ini dan mara ke Liga Super 2017.

Baginya, pencapaian itu menyamai kejayaan Melaka sebagai juara Liga Malaysia 1983 yang pastinya antara kenangan manis buat penyokong setia pasukan itu.

Menurutnya, pada 1983 skuad Melaka di bawah bimbingan jurulatih Halim Darimi mengejutkan pasukan tersohor lain ketika itu termasuk Selangor, Pahang, Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang.

“Apa saya harapkan MU beraksi lebih baik dan konsisten sepanjang saingan Liga Super musim depan. Sekurang-kurangnya pasukan ini perlu berada dalam kelompok lima teratas, jika mampu buat lebih baik itu lebih membanggakan.

“Saya harap semua usaha dilakukan untuk membentuk MU sebagai pasukan kuat akan membawa kejayaan,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Kejohanan Bola sepak Veteran 7 Sebelah Piala Datuk Soh Chin, di sini, kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2016 @ 10:30 AM