PASUKAN SIC ceria selepas muncul juara, baru-baru ini.
PASUKAN SIC ceria selepas muncul juara, baru-baru ini.
Nazri Abu Bakar


Melaka: Beraksi konsisten sepanjang perlawanan menyaksikan pasukan SIC FC dari Kuala Lumpur muncul juara Kejohanan Bola Sepak Veteran Terbuka Melaka selepas menewaskan Otai FC dari Segamat, Johor 1-0 pada aksi final yang berlangsung di padang Sekolah Menengah Tun Mutahir, Batu Berendam baru-baru ini.

Kejayaan SIC itu membolehkan mereka meraih RM2,000, piala dan hadiah iringan yang disampaikan Exco Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi Hijau dan Invoasi Datuk Wira Md Yunos Husin manakala Otai FC membawa pulang RM1,000 manakala Durian Tunggal FC yang menduduki tempat ketiga menerima RM500.

Kejohanan anjuran Kelab Bolasepak Arena FM Melaka itu turut menghimpunkan lebih 10 bekas pemain kebangsaan.

Mereka termasuklah pemain olimpik 1972 dan 1980 Datuk Soh Chin Aun selain Ramli Junit, Azmil Azali, Nazreen Tee Abdullah, Ching Hong Aik, Rozmin Musa, Alif Rohaimi, Shamsurin Abd Rahman dan Soh Chor Len.

Antara pasukan bersaing ialah Anak Dagang FC, MPKE, Tangkak, Batu Pahat, KBS Rantau, Mybox, Arena FM dan Eagle FC.

Perasmian kejohanan disempurnakan Chin Aun. Turut hadir ahli lembaga pengarah Mamee Double Decker (M) Berhad Datuk Gary Choo.

Chin Aun berkata, pembabitan ramai bekas pemain negara dalam kejohanan berkenaan memberi impak terhadap minat generasi baharu kepada sukan terbabit.

“Penyertaan golongan veteran jelas membuka minat golongan belia meminati bola sepak sekali gus mendedahkan pelajar untuk lebih serius dalam sukan bola sepak.

“Kita harus melakukan sesuatu selepas Harimau Malaysia tersekat peringkat kumpulan di pentas saingan AFF. Justeru, penyertaan akar umbi amat penting untuk skuad masa depan negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Disember 2016 @ 5:14 AM