Mojo akan tampil tanpa Aweera di AJL 29, 18 Januari  tahun depan.
Mojo akan tampil tanpa Aweera di AJL 29, 18 Januari tahun depan.
Oleh Rudy Imran Shamsudin


Kuala Lumpur: Kumpulan Mojo akan tampil membawakan lagu Romancinta pada Anugerah Juara Lagu Ke-29 (AJL 29), 18 Januari tahun depan tanpa penyanyinya, Aweera selepas dia disingkirkan.

Komposer dan ketua kumpulan Mojo, Edry Abdul Halim berkata, keputusan itu dibuat selepas Aweera atau nama sebenarnya, Nasharul Aweera Norhissham yang sebelum ini sudah bernaung di bawah syarikat rakaman lain memberikan syarat dia mahu menyanyi bersama kumpulan sendiri dan bukan Mojo.

“Sebagai komposer lagu Romancinta yang dipertandingkan dan anggota kumpulan Mojo sudah tentu saya tidak akan membenarkan perkara itu berlaku dan akhirnya saya membuat keputusan untuk menggugurkan Aweera.

“Pada saya ini saja jalan terbaik, kerana sepanjang rancangan ini berlangsung banyak sangat masalah ditimbulkan Aweera. Tambahan pula saya sudah banyak mengalah, jadi saya membuat keputusan tempatnya akan digantikan penyanyi lain,” katanya ketika ditemui pada sidang media AJL 29, petang tadi.

Menurutnya, dia akan mengumumkan pengganti Aweera sebaik mendapat calon sesuai.

AJL 29 bakal berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil. Selain kumpulan Mojo, turut bertanding di pentas AJL29 adalah Dayang Nurfaizah dengan lagu Di Pintu Syurga, Waris menampilkan Datuk Hattan (Gadis Jolobu), Najwa Mahiaddin menggantikan Yuna untuk lagu Lelaki, Indah Ruhaila (Percayalah), Stacy (Gilalah), Alyah (Sesal Separuh Nyawa), Hafiz (Matahari), Bunkface menampilkan Amy Search (Rentak Laguku), Hazama (Malaikat) dan Joe Flizzow menampilkan Sonaone (Apa Khabar).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Disember 2014 @ 9:54 PM