PENGUATKUASA KPDNKK Perlis melakukan pemeriksaan terhadap premis di Chuping. FOTO Hafizuddin Mohd Safar
PENGUATKUASA KPDNKK Perlis melakukan pemeriksaan terhadap premis di Chuping. FOTO Hafizuddin Mohd Safar
Hafizudin Mohd Safar


Padang Besar: Sebanyak 1,400 kilogram minyak masak bernilai RM7,664 dirampas di premis perniagaan di kawasan Chuping, kira-kira 3 petang ini.

Pengarah KPDNKK Perlis, Khairul Amin Talib, berkata siasatan awal mendapati premis terbabit menyimpan stok minyak masak melebihi lesen runcit yang dibenarkan.

"Hasil pemeriksaan penguatkuasa KPDNKK Perlis mendapati sejumlah besar minyak masak disimpan melebihi had lesen runcit iaitu maksimum 500kg pada satu-satu masa.

"Justeru, KPDNKK terpaksa menyita minyak masak terbabit terdiri daripada 1,162kg minyak berpaket 1kg, 84 bungkus 2kg dan 14 botol 5kg,” katanya ketika ditemui selepas membuat pemeriksaan itu.

Khairul Amin berkata, pihaknya turut merampas sejumlah 1,300kg gula bernlai RM3,705 kerana melanggar kebenaran permit runcit berkaitan had maksimum penyimpanan stok di premis sama.

"Kes disiasat mengikut Peraturan 10 (1) Peraturan Kawalan Bekalan 1974 berkaitan kedua-dua kesalahan terbabit yang boleh didenda sebanyak RM1 juta atau penjara tiga tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2016 @ 7:29 PM