Aizat Sharif


Kangar: Sebanyak 2,520 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi bernilai RM33,000 dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perlis dalam serbuan di sebuah pasar raya di Seriab, di sini, semalam.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Perlis Jamal Nor Ahmad Harun berkata, serbuan jam 7.10 malam itu dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat pasar raya itu menyimpan stok minyak masak melebihi had lesen runcit dibenarkan.

“Hasil pemeriksaan kami dapati pasar raya ini hanya mempunyai lesen runcit menyimpan sebanyak 1,000 kg minyak masak saja tetapi sudah melanggar had dibenarkan.

“Maka, kami rampas 1,500 kg minyak masak jenama Alif yang dipek dalam botol seberat lima kg dan 1,020 kg minyak masak jenama Bagus dalam paket satu kg,” katanya di Pejabat KPDNKK Perlis, di sini, tadi.

Beliau berkata, pengurus pasar raya itu yang berusia lingkungan 30 tahun memberi alasan bahawa dia menerima bekalan serentak daripada pembekal menyebabkan lebihan stok.

“Siasatan awal kami menolak kemungkinan bekalan minyak masak ini cuba disembunyikan tetapi lambakan yang berlaku menyebabkan bekalan gagal dibawa keluar ke rak jualan.

“Pasar raya itu didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan 10 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2016 @ 1:00 PM
Jamal memeriksa minyak masak yang dirampas. FOTO Eizairi Shamsudin
Jamal memeriksa minyak masak yang dirampas. FOTO Eizairi Shamsudin