GAMBAR hiasan. FOTO Shazreen Zamzuri.
GAMBAR hiasan. FOTO Shazreen Zamzuri.
Amir Mamat


Melaka: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi amaran kepada peniaga serta pengusaha kedai runcit, pasar mini serta pasar raya di negeri ini supaya menjual minyak masak bersubsidi mengikut keluarga, bukannya individu.

Pengarah KPDNHEP Melaka, Norena Jaafar berkata, langkah terbabit bagi membendung keadaan kekurangan minyak masak, selain memberi peluang pengguna lain mendapatkan bekalan berkenaan.

Beliau berkata, setiap premis perlu menetapkan kaedah penjualan minyak masak bersubsidi satu kilogram itu mengikut keluarga, bukannya mengikut jumlah ahli keluarga pelanggan yang turut datang ke premis berkenaan.

"Mereka (peniaga) perlu memantau supaya tiada ahli keluarga seseorang pelanggan turut membeli minyak masak pada hari sama.

"Maknanya, jika pelanggan itu membawa bersama dua atau tiga ahli keluarga, mereka membeli sekurang-kurangnya 10 paket dalam satu masa.

"Perbuatan itu tidak wajar dan pihak pengusaha premis perlu memantau keadaan itu atau berdepan dengan tindakan di bawah Peraturan 12, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974," katanya selepas mengiringi lawatan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali ke Pasar Besar Melaka, Bachang di sini hari ini.

Baru-baru ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengumumkan pemansuhan subsidi minyak masak tulen botol berkapasiti dua hingga lima kilogram (kg), bermula 1 Julai ini.

Bagaimanapun, pemansuhan itu hanya membabitkan program subsidi sementara merangkumi minyak masak berbotol bagi 1kg, 2kg, 3kg dan 5kg, manakala subsidi minyak masak berpaket dikekalkan.

Mengulas lanjut, Norena berkata, KPDNHEP memberi amaran keras kepada semua peniaga supaya tidak menyorok barang kawalan bagi memanipulasi pasaran melalui permainan harga dan kestabilan barang kawalan di pasaran.

Katanya, jika dikesan, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap pelakunya.

"Penguat kuasa kami sentiasa melakukan pemantauan bagi memastikan tiada pelanggaran undang-undang berlaku di semua peringkat perniagaan.

"Pada masa sama, pengguna juga perlu menjadi mata dan telinga KPDNHEP dalam melaporkan sebarang salah laku berkaitan perdagangan serta isu kepenggunaan yang lain dengan menghubungi talian 06-2345869 atau WhatsApp di talian 019-2794317," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Jun 2022 @ 1:37 PM