GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Zuliaty Zulkiffli


Kubang Pasu: Premis dan kedai runcit di sekitar daerah ini sudah menerima bekalan minyak masak daripada pemborong untuk menampung kekurangan bahan mentah itu.

Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kubang Pasu, Mohd Amir Abdullah berkata, bagaimanapun beberapa kawasan di daerah itu masih mengalami masalah kehabisan stok minyak masak namun dalam proses untuk mendapat bekalan itu dalam tempoh terdekat ini.

Beliau berkata, pihaknya sudah melakukan tinjauan di beberapa premis dan kedai runcit dan mendapati bekalan minyak masak masih mencukupi setakat ini.

"Kita menasihatkan orang ramai supaya tidak panik dengan membeli minyak masak dalam jumlah yang banyak untuk simpanan kerana ia akan menyebabkan masalah itu bertambah serius.

"Setakat ini kami belum menerima sebarang aduan berhubung minyak masak yang disorok dan sekiranya didapati ada yang berbuat demikian, kita akan ambil tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyorok minyak masak," katanya ketika dihubungi tadi.

Mohd Amir berkata, KPDNKK tidak mempunyai kuasa melarang peniaga menghadkan penjualan minyak masak kepada pengguna dan berkemungkinan mereka terpaksa berbuat demikian kerana bimbang bekalan itu akan cepat habis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2016 @ 6:24 PM