SEBANYAK 131 karya daripada 115 artis diperoleh daripada pengumpul seni dipamerkan di Galeri Prima sebelum dilelong Ahad ini.
SEBANYAK 131 karya daripada 115 artis diperoleh daripada pengumpul seni dipamerkan di Galeri Prima sebelum dilelong Ahad ini.
Nor Hanisah Kamaruzaman

Buat pertama kalinya, Galeri Prima menjadi tuan rumah lelongan karya seni Malaysia dan Asia Tenggara anjuran Henry Butcher Art Auctioneers.

Bagi penggemar seni, lelongan ini menjadi platform kepada mereka merebut hasil karya dijual pengumpul seni lain, malah mendapatkan karya istimewa yang menjadi rebutan ramai.

Sebelum lelongan yang bakal berlangsung Ahad ini, peminat seni berpeluang melihat dan menghayati 131 karya terbabit bermula 26 Oktober lalu hingga Sabtu ini di Galeri Prima di Balai Berita The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Bangsar, Kuala Lumpur.

Karya terbabit daripada pelbagai berbeza genre dan medium.

Peminat seni pasti rambang mata kerana semua karya yang dihasilkan dari tahun 1960-an hingga 2015 itu dipilih mengikut kriteria tertentu dan hanya yang jarang ditemui akan dilelong.

Antara yang menarik perhatian penulis ialah ‘Perchobaan’ hasil kerja Allahyarham Datuk Syed Ahmad Jamal yang menggunakan medium cat minyak di atas kanvas.

Lukisan menggambarkan figuratif samar sedang menari dalam bentuk bujur yang terpotong di bahagian atas itu dipercayai menyerupai rupa bentuk ovum wanita.

Karya yang dihasilkan pada 1965 itu masih tidak diketahui sama ada figura tarian berkenaan menggambarkan tarian untuk menghilangkan kesedihan, meraikan sesuatu atau tergelincir.

Allahyarham yang dilahirkan pada 1950 adalah antara artis terkemuka Malaysia yang mendapat pendidikan seni halus di luar negara dan memiliki Ijazah Sarjana dalam Sejarah Seni dari University of Honolulu, Hawaii, pada 1974.

Pengarah Henry Butcher Art Auctioneers, Sim Polenn berkata, karya Alalhyarham Datuk Syed Ahmad adalah yang termahal untuk lelongan kali ini dengan menawarkan harga julat permulaan RM130,000 hingga RM180,000.

“Kami turut membawa beberapa karya Allahyarham pada tahun 1960-an antaranya yang dihasilkan pada 1965 bertajuk ‘Perchobaan’ dan ia antara lot lelongan paling mahal kali ini kerana lukisan itu sudah berusia 51 tahun.

“Sebagai rumah lelongan, kami menawarkan karya yang bukan saja sudah lama, malah unik dan istimewa selain memiliki nilai estetika tinggi,” katanya.

Selain itu, lukisan landskap ‘Pantai Sabak’ karya Ismail Mat Hussin yang dihasilkan pada 2011 turut mencuri perhatian.

Karya menggunakan batik sebagai medium itu cukup tenang dipandang berikutan penggunaan garisan yang teliti dan halus.

Melalui tona dan warna digunakan, lukisan berkenaan menggambarkan suasana nelayan pulang dari laut dan sedang berehat sambil membahagikan hasil tangkapan dengan dibantu golongan wanita.

Menurut Sim, lelongan itu antara usaha pihaknya mempromosi pasaran kedua penjualan karya seni. Semua hasil seni ini diperoleh daripada pengumpul, bukannya artis.

“Kami sediakan platform untuk sesi jualan pasaran kedua melalui lelongan kerana minat pengumpul seni sentiasa berubah-ubah. Kami dapat membantu mereka menjual semula karya yang dibeli.

“Lelongan juga berfungsi sebagai penanda aras menentukan harga semasa karya berkenaan yang boleh dijadikan pelaburan.

“Sebagai contoh pengumpul beli pada harga RM10,000 tapi mungkin selepas lima tahun harganya meningkat sehingga RM60,000,” katanya.

Katanya, pembelian menerusi rumah lelongan seni lebih baik kerana pembeli bukan saja mendapat sijil pembelian, malah karya itu sudah dipastikan ketulenannya sekali gus dapat mengelak penipuan.

“Kami hanya memilih karya mengikut aspek tertentu dan mempunyai panel profesional untuk menilai setiap hasil seni,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2016 @ 5:59 AM